Make your own free website on Tripod.com
 
  15: KONSEP KETUHANAN

Allah s.w.t berfirman:
Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat. (Ayat 11 : Surah asy-Syura)
Akuilah kesucian Tuhanmu, - Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, -  dari apa yang mereka katakan! ( Ayat 180 : Surah as-Saaffaat )
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami adalah Allah!” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan  kepada kamu. ( Ayat 30 : Surah Fussilat )

 Allah s.w.t tidak menyerupai sesuatu, baik yang nyata mahupun yang ghaib ataupun yang tersembunyi, sama ada yang muncul dalam fikiran atau khayalan atau perasaan. Dia melampaui apa juga sifat yang disifatkan kepada-Nya. Dia melampaui bahasa apa juga yang digunakan untuk menceritakan mengenai-Nya. Manusia dituntut agar beriman kepada-Nya. Cukuplah dengan beriman bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan dan teguhkan iman tersebut tanpa membongkar Rahsia Diri-Nya, kerana tidak ada jalan untuk meruntuhkan benteng keperkasaan-Nya yang menghalang apa sahaja daripada berdampingan dan bersekutu dengan-Nya. Dia adalah Esa. Ilmu, khayalan, perasaan, cita-cita dan apa sahaja tidak mungkin masuk ke dalam majlis-Nya untuk mengubah keesaan-Nya. Paling tinggi pengenalan tentang Diri-Nya adalah:

Katakanlah: “Dia adalah Allah, Maha Esa. Allah adalah pergantungan. Tidak Dia beranak dan tidak Dia diperanakkan. Dan tidak ada bagi-Nya setara sesuatu jua pun”. ( Ayat 1 – 4 : Surah al-Ikhlas )

Allah s.w.t tidak termasuk di dalam proses beranak dan diperanakkan. Proses beranak dan diperanakkan bukan sekadar kelahiran bayi dari ibunya, malah ia juga termasuk pertumbuhan pokok dari benihnya, perubahan sifat seperti daripada air kepada wap, pemecahan daripada satu kepada lebih daripada satu, pengeluaran cahaya dan bunyi daripada diri, pengeluaran bau, warna, peluh atau sebagainya dan apa sahaja proses yang ada sumber dan ada hasilnya. Allah s.w.t tidak dikurung oleh semua proses tersebut.

Dia adalah Allah, Maha Esa. Dia adalah Maha Suci, Maha Tinggi dan Maha Besar daripada apa yang difikirkan, digambarkan, dikhayalkan, diibaratkan, ditekakan, dirasakan dan disifatkan. Bila Dia mengatakan yang Dia Melihat dan Mendengar maka Melihat dan Mendengar-Nya tidak serupa dengan melihat dan mendengar yang tergambar dalam fikiran dan perasaan manusia. Walaupun dibentangkan 20 Sifat-sifat yang dikatakan sebagai Sifat-sifat yang wajib bagi-Nya, tetapi sifat-sifat tersebut bukanlah sifat-Nya Yang Hakiki. Dia tidak tertakluk kepada sempadan wajib, mungkin dan mustahil. Wajib, mungkin dan mustahil adalah sempadan dalam ilmu. Sifat-sifat yang 20 itu muncul apabila ilmu mencuba untuk memperkenalkan-Nya. Perkenalan melalui ilmu itu hanyalah sekadar untuk menafikan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya bukan untuk menyatakan sifat-Nya Yang Hakiki. Dia lebih suci, lebih mulia dan lebih agung daripada apa yang dikatakan oleh ilmu dan daripada apa yang diperkenalkan oleh makrifat. Tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat yang berkongsi kedudukan dengan keesaan-Nya. Maha Esa bermaksud tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat yang mengetahui dan mengenali-Nya. Akal bukanlah alat untuk mengetahuinya dan hati juga bukanlah alat untuk mengenali-Nya Yang Hakiki. Akal dan hati adalah alat untuk beriman kepada-Nya dan mentaati-Nya. Bila akal dan hati sudah tunduk dengan segala kelemahan dan kerendahan, lalu menyerah kepada-Nya baharulah akal dan hati itu dikatakan Islam.

Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri. Dia tidak memerlukan sifat Wujud untuk kewujudan-Nya. Dia tidak memerlukan sifat Hidup untuk membuat-Nya Hidup. Dia tidak memerlukan sifat Mendengar untuk menjadikan-Nya mempunyai Pendengaran. Dia tidak memerlukan sifat Melihat untuk Penglihatan-Nya. Dia tidak memerlukan sifat Berkata-kata untuk mengadakan Kalam-Nya. Dia tidak memerlukan sifat Iradat untuk Dia berkehendak. Dia tidak memerlukan sifat Ilmu untuk pengetahuan-Nya. Dia serba cukup. Dia Wujud sendiri-Nya, Melihat sendiri-Nya, Mendengar sendiri-Nya, Hidup sendiri-Nya, Berkehendak sendiri-Nya, Mengetahui sendiri-Nya, Berkata-kata sendiri-Nya dan apa jua pun adalah sendiri-Nya tanpa bersandar kepada sebarang sifat. Dia tidak memerlukan sifat atau nilai-nilai tambahan untuk Kesempurnaan-Nya. Dia Berkuasa tanpa bersandar kepada sifat Berkuasa. Dia Mencipta tanpa memerlukan sifat Berkuasa Mencipta. Allah s.w.t serba cukup dengan Diri-Nya sendiri, dengan keesaan-Nya tanpa memerlukan sokongan sifat dan alat.
 

Perlu diingatkan bahawa fikiran, perasaan, bahasa, perkataan, istilah, ungkapan, ibarat dan misal semuanya adalah makhluk, iaitu sesuatu yang termasuk di dalam ciptaan Tuhan, baik secara nyata atau abstrak. Apa yang Tuhan ciptakan tidak ada kekuatan untuk memperihalkan tentang Tuhan. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran dan perasaan, yang terucap oleh perkataan dan bahasa, yang digambarkan sebagai ibarat, misal dan sifat, semuanya bukanlah Allah s.w.t. Apa juga istilah yang digunakan semuanya juga bukan Allah s.w.t. Ahadiyyah, Wahdat dan Wahadiyyah bukanlah Allah s.w.t. Tiada kenyataan, kenyataan pertama, kenyataan ke dua dan kenyataan ke tiga semuanya bukanlah Allah s.w.t. Zat, sifat, asma’ dan af’al semuanya bukanlah Allah s.w.t. Roh Kudus, Roh Idhafi dan Roh Rabbani bukanlah Allah s.w.t. Alam Lahut, Balhut dan Jamhut bukanlah Allah s.w.t. Alam Ghaibul Ghuyub, Alam Ghaib, Alam Kabir dan Alam Saghir bukanlah Allah s.w.t. Alam Arwah dan Alam Misal bukanlah Allah s.w.t. Alam Malakut dan Alam Jabarut bukanlah Allah s.w.t. Semuanya, sekaliannya, yang beribu-ribu lagi istilah dan perkataan yang digunakan adalah sesungguhnya dan sebenarnya bukanlah Allah s.w.t. Semua itu hanyalah perihal tentang keadaan Allah s.w.t, kesucian Allah s.w.t, kebesaran Allah s.w.t, kebijaksanaan Allah s.w.t, keindahan Allah s.w.t, kekayaan Allah s.w.t, cahaya Allah s.w.t, kenyataan Allah s.w.t dan sesuatu tentang Allah s.w.t tetapi bukanlah Dia.

Dan bagi Allah jualah misal (sifat) yang tertinggi, dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 60 : Surah an-Nahl )
Dan supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perumpamaan ini?” Demikianlah disesatkan Allah barangsiapa yang Dia kehendaki dan diberi-Nya petunjuk kepada barangsiapa yang Dia kehendaki. Dan tidaklah ada yang mengetahui tentera Tuhan engkau itu melainkan Dia jua. Dan tidaklah ada yang demikian itu melainkan peringatan bagi manusia. (Ayat 31 : Surah al-Muddaththir )

Apa juga yang dikatakan tentang Allah s.w.t adalah misal dan sifat yang layak disebut oleh manusia. Allah s.w.t yang mengajarkan manusia apa yang layak diperkatakan tentang Diri-Nya. Al-Quran mengatakan: “Katakanlah…” Tuhan yang mengizinkan manusia berkata sesuatu tentang-Nya. Dia yang ajarkan dan izinkan manusia berkata:


Katakanlah: “Dia adalah Allah, Maha Esa. Allah adalah as-Samad”.

Dia yang mengajarkan dan mengizinkan manusia memanggil-Nya Allah dan berbagai-bagai nama yang baik-baik. Dia juga mengizinkan manusia mengatakan bahawa Dia Mendengar, Melihat, Berkuasa, Hidup, Berkehendak, Berkata-kata dan Mengetahui. Manusia hanya perlu beriman kepada-Nya dan katakan apa yang Dia izinkan untuk dikata. Keizinan memperkatakan tentang Diri-Nya yang diberikan-Nya melalui al-Quran adalah kebenaran yang sejati. Kebenaran yang datang daripada Allah s.w.t  kepada Rasulullah s.a.w itulah yang paling benar. Kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepada umat manusia itulah kebenaran yang tetap benar. Sebab itu tidak ada kebenaran yang melebihi kebenaran syariat. Kebenaran Hakiki hanya perlu diimani, dipercayai. Sebelum sampai kepada Kebenaran Hakiki ditemui kebenaran melalui fikiran, ilham dan kasyaf. Kebenaran yang diperolehi secara logik, dalil dan penyaksian hati adalah bayangan kepada Kebenaran Hakiki yang “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya”. Jadi, walaupun diberikan-Nya keizinan untuk menyebut-Nya dengan berbagai-bagai nama dan menyifatkan-Nya dengan berbagai-bagai sifat namun, manusia berkewajipan mengawasi iktikad akal dan hati agar benteng “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya” tidak dirobohkan oleh akal dan hati. Logik, dalil dan penyaksian hanyalah kenderaan untuk sampai kepada beriman dengan Yang Hakiki.

Tuhan tidak memerlukan sifat-sifat dan nilai-nilai tambahan untuk kesempurnaan-Nya tetapi makhluk memerlukan, berhajat dan bergantung kepada medan wujud, medan ketuhanan dan sifat-sifat ketuhanan bagi menumpang kewujudan mereka. Medan di sini bukan bermaksud  ruang. Tidak boleh dikatakan di samping ruang yang diisi oleh kewujudan makhluk ada ruang yang menempatkan kewujudan sifat-sifat ketuhanan. Sifat ketuhanan atau pun urusan Tuhan tidak memerlukan ruang. Misalnya, sifat Ilmu dan kewujudan dalam Ilmu tidak memerlukan ruang untuk wujud. Makhluk memerlukan pemangkin, penyokong, hijab atau medan wujud yang bersifat ketuhanan bagi memelihara kewujudan makhluk itu agar menjadi benar, nyata, ada kesinambungan dan stabil. Sifat ketuhanan  juga diperlukan oleh makhluk bagi melindungi mereka daripada tajalli Allah s.w.t. Jika makhluk menerima tajalli Allah s.w.t makhluk akan hancur dan hilang lenyap. Sifat-sifat ketuhanan menjadi hijab yang kukuh melindungi kewujudan makhluk dan menyelamatkan mereka. Kewujudan yang tidak ada hijab melindunginya adalah kewujudan ciptaan ahli silap mata. Ciptaan ahli silap mata tidak stabil, tidak benar dan tidak bertahan kewujudannya. Ciptaan Tuhan yang dihijabkan oleh sifat-sifat ketuhanan bersifat stabil, benar dan kekal kewujudannya sampai kepada akhirat. Hijab ketuhanan yang memegang kewujudan makhluk, yang ada hubungan dengan makhluk, itulah sifat-sifat Tuhan yang Dia izinkan dinisbahkan kepada-Nya. Sifat-sifat-Nya yang tidak boleh diperkatakan adalah sifat-Nya Yang Hakiki. Aspek Tuhan yang boleh disifatkan dan diperkatakan dinamakan tasybih dan yang tidak boleh dikatakan dinamakan tanzih. “Tiada sesuatu menyamai-Nya” adalah aspek tanzih. “Dan Dia Mendengar dan Melihat” adalah aspek tasybih. Makrifat yang sempurna adalah yang mengenal Tuhan dalam aspek tasybih dan tanzih sekaligus.

 Penciptaan makhluk berhubung dengan sifat Tuhan. Sekiranya tidak ada sifat-sifat Tuhan yang menghijab atau menjadi perantaraan nescaya tidak akan ada penciptaan makhluk. Sifat menghubungkan  Pencipta dengan penciptaan. Hanya orang yang tidak mengerti menolak peranan sifat lalu menghubungkan ciptaan terus kepada Dia Yang Maha Tinggi. Jika Tuhan bukakan tajalli cahaya Zat-Nya Yang Hakiki tentu makhluk akan binasa, kewujudan akan hilang. Kenyataan yang pertama juga akan lenyap jika berhadapan dengan keagungan Allah Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Hubungan makhluk dengan Tuhan hanyalah sekadar layak dan mampu makhluk bertahan, iaitu hubungan yang dimisalkan atau hubungan melalui sifat-sifat-Nya yang tasybih, bukanlah hubungan dalam ertikata yang sebenarnya.

 Alam memiliki kewujudan yang benar. Alam benar-benar wujud, bukan khayalan. Tetapi wujud alam berbeza dengan Wujud Tuhan, berbeza dengan sifat-sifat Tuhan yang diistilahkan sebagai tasybih apalagi yang tanzih. Wujud alam diistilah sebagai wujud yang mungkin (mumkinul wujud) dan wujud sifat Tuhan diistilahkan sebagai Wujud yang wajib (Wajibul Wujud). Maksud Wajibul Wujud yang boleh dicapai oleh pemikiran dan kasyaf adalah Wajibul Wujud sifat. Zat Allah Yang Maha Tinggi tidak termasuk di dalam sempadan pemikiran dan penyaksian hati, tidak terlibat dengan wujud yang wajib, wujud yang mungkin dan wujud yang mustahil. Sifat-sifat yang diistilahkan sebagai Wajibul Wujud adalah sifat tasybih. Dalam pandangan kasyaf sufi menyaksikan sifat tasybih sebagai berada satu tingkat di bawah daripada Zat. Sifat tanzih pula tidak terpisah dengan Zat kerana sifat tanzih adalah sifat-Nya Yang Hakiki yang tida ada beza dengan Zat-Nya. Zat dan Sifat Hakiki adalah yang sama. Zat Hidup, Wujud, Melihat, Mendengar, Berkata-kata, Berkehendak dan Berkuasa dengan Zat-Nya sendiri bukan dengan sifat-sifat Hidup, Wujud, Melihat, Mendengar, Berkata-kata, Berkehendak dan Berkuasa. Apa sahaja yang dengan Zat tidak berpisah dan tidak lain daripada Zat. Perpisahan dan perbezaan terjadi dalam ilmu dan penyaksian. Zat Yang Maha Suci menyatakan kesempurnaan-Nya melalui Sifat-sifat dan Nama-nama yang dinisbahkan kepada-Nya. Sebab itulah Zat, Sifat dan asma’ dipandang sebagai berkedudukan berbeza-beza. Apa yang dipandang sebagai berbeza dengan Zat itu adalah bayangan kepada Yang Hakiki, diistilahkan sebagai penzahiran, pembukaan atau tajalli. Kewujudan makhluk berhubung dengan bayangan dan diselimuti oleh hijab-hijab. Walaupun yang digunakan adalah istilah bayangan, tetapi bayangan itu adalah bayangan martabat ketuhanan, tidak sama dengan bayangan benda-benda alam. Bayangan atau hijab ketuhanan berperanan di dalam kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk. Hijab ketuhanan berhubung dengan alam maya dan kerana perhubungan tersebutlah manusia boleh mengenal Tuhan menurut kadar kehendak-Nya untuk dikenali. Orang yang kasyafnya sampai kepada hijab atau bayangan menyaksikan sifat sebagai berpisah dengan Zat. Selepas melepasi peringkat bayangan atau hijab dia akan menyaksikan sifat tidak berpisah dengan Zat, malah sifat bukan lain daripada Zat. Sedikit sangat orang yang sampai kepada tahap ini, iaitu kepada Yang Hakiki. Pada Yang Hakiki Pendengaran-Nya adalah Penglihatan-Nya dan juga Percakapan-Nya.

Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, dan Yang Zahir serta Yang Batin, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )

Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin adalah Yang Sama, Yang Esa. Tidak ada perbezaan dan perpisahan di antara Kudrat (kuasa)-Nya dengan Iradat (kehendak)-Nya. Yang Menghidupkan adalah Esa dengan Yang Mematikan. Apabila dua sifat yang pada logiknya dipandang bertentangan sudah berada dalam suasana harmoni, iaitu suasana as-Salam (Yang Mensejahterakan), sesungguhnya seseorang itu telah menyaksikan Yang Hakiki, yang tidak bertentangan Awal-Nya dengan Akhir-Nya dan Zahir-Nya dengan Batin-Nya. Pandangan yang demikian dikatakan melihat Allah s.w.t pada setiap waktu, ruang dan keadaan. Inilah sifat orang yang benar-benar mengenal Tuhan.

 Sifat Tuhan seperti juga Zat-Nya, adalah unik, tidak boleh dihurai atau dipecahkan. Sifat Tuhan adalah sifat keesaan di mana kesemua sifat-Nya berkamil dalam keesaan, tidak berpisah dan tidak berbeza di antara satu dengan yang lain. Perbezaan pada sifat dibuat secara ilmiah bukan keadaan yang sebenar. Secara ilmiah disebutkan sifat Wujud, Hidup, Melihat dan sebagainya. Walaupun dipandang satu-satu namun keunikan sifat tersebut tetap ada. Keunikan tersebut dipanggil juga kemutlakan. Ilmu Tuhan dikatakan Ilmu yang Mutlak. Ilmu Mutlak tidak mampu dihuraikan. Dalamnya berkumpul pengetahuan dari awal hingga ke akhirnya. Ini bermakna Tuhan mengetahui tentang alam ini daripada sebelum adanya hinggalah kepada tanpa kesudahan. Tuhan mengetahui daripada azali hinggalah kepada abadi dan pengetahuan tersebut adalah pengetahuan secara keesaan, iaitu tatkala mengetahui yang azali itu jugalah Dia mengetahui yang abadi. Tidak ada ruang atau jarak masa pada pengetahuan-Nya sekalipun pengetahuan itu mengenai perkara yang melalui ruang, masa dan zaman. Pada sisi Tuhan, kelmarin, hari ini dan esok adalah yang sama. Tidak ada masa, ruang dan jarak pada sisi-Nya.

 Sifat Tuhan Berkata-kata juga Mutlak. Tuhan berkata-kata sejak keazalian sampai kepada keabadian tanpa satu patah perkataan dan tanpa suara. Manusia bercakap dalam satu tempuh menggunakan berpatah-patah perkataan dan ada mengeluarkan suara. Tetapi Tuhan Berkata-kata dalam keadaan Kalam-Nya yang pertama dengan Kalam-Nya yang terakhir adalah Kalam yang sama, tidak berpisah, tidak berbeza dan tidak bersuara. Begitu juga dengan sifat Tuhan yang lain. Sifat kemutlakan menyebabkan Tuhan berkuasa berhubung dengan makhluk-Nya tanpa berlaku pertembungan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan dengan wujud makhluk dan sifat makhluk. Kemutlakan sifat Tuhan menyebabkan tidak mungkin makhluk termasuklah manusia bersekutu dengan perbuatan atau sifat Tuhan, apalagi Zat Tuhan. Manusia yang membalingkan tombaknya perlu mengadakan beberapa pergerakan, tetapi perbuatan Tuhan tidak memerlukan pergerakan. Tidak mungkin manusia menggunakan perbuatan Tuhan dalam melakukan perbuatannya. Kebenaran ini tidak terjangkau oleh logik. Hukum logik mengatakan tidak mungkin Tuhan Mengetahui benda-benda alam jika Ilmu-Nya tidak ada hubungan dengan benda-benda tersebut. Hukum logik juga mengatakan tidak mungkin Tuhan menciptakan alam jika Kuasa-Nya tidak ada hubungan dengan alam. Hukum logik tidak mengerti bahawa pada tahap “Tuhan melampaui segala sesuatu” keabadian yang lalu (azali) dan keabadian yang akan datang (abadi) adalah satu masa yang sama, malah masa tidak wujud pada tahap ini. Itulah kemutlakan. Pada tahap kemutlakan jika sifat Wujud dipakaikan kepada Tuhan maka ia adalah Wujud Mutlak yang tidak ada permulaan, tiada kesudahan, tidak menempati ruang dan tidak ada persaingan daripada yang tidak Mutlak.

 Kebenaran Hakiki menyatakan bahawa Allah s.w.t Yang Maha Suci, Maha Tinggi, Maha Besar, melampaui apa juga sifat yang disifatkan bagi-Nya. Dia melampaui tahap Wujud. Wujud merupakan kenyataan pertama tentang Zat Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. Kebanyakan sufi menyamakan  Wujud dengan Zat Yang Maha Suci. Perbezaan tahap Wujud dengan Zat Allah s.w.t Yang Melampaui Segala Sesuatu sangat halus hinggakan kebanyakan manusia gagal menyedarinya atau enggan menerima perbezaan tersebut. Ramai manusia menyembah Wujud sebagai Tuhan dan gagal melampauinya untuk mencapai matlamat sebenar penyembahan, ketaatan dan penyayangan yang melepasi tahap tersebut. Mereka menganggap Wujud sebagai sumber kepada segala yang maujud dan penyebab kepada segala kejadian. Mereka juga lupa bahawa Wujud bergantung dan berhajat kepada Zat-Nya yang melampaui Wujud atau yang tidak wujud. Sebab itulah kefanaan yang menyeluruh atau ketidakwujudan yang sejati tidak menemukan seseorang dengan Kebenaran Hakiki. Kesatuan Wujud (wahdatul wujud) juga gagal menemui Kebenaran Hakiki. Kebaqaan (kekekalan bersama Tuhan) juga gagal berbuat demikian. Kebenaran Hakiki hanya ditemui dalam kesedaran yang sepenuhnya, menyedari bahawa: “Katakanlah: ‘Tuhan kami adalah Allah!’ Kemudian teguhkan pendirian”. Kebenaran Hakiki ditemui melalui iman yang teguh.

 Fikiran, ilham dan kasyaf manusia bertingkat-tingkat. Oleh itu fahaman, kepercayaan dan pegangan mereka juga berbeza-beza mengenai keunikan dan kemutlakan Tuhan dan sifat Tuhan yang tidak mampu dihurai oleh akal fikiran. Orang yang mencari Tuhan dengan menggunakan akal fikiran akan jatuh ke dalam salah satu golongan. Golongan pertama menjadi gila. Golongan ke dua menjadi ateis (tidak percaya kepada kewujudan Tuhan). Golongan ke tiga mengaku kalah dan menyerah. Orang yang mencari Tuhan melalui ilham adalah golongan ahli falsafah dan sebahagian daripada golongan sufi. Ahli falsafah tertarik dengan sifat kesempurnaan Tuhan dan ahli sufi asyik dengan sifat keelokan Tuhan. Sufi yang lebih maju mencari Tuhan dengan kasyaf mereka dan mereka temui bayangan Tuhan. Sufi yang menyaksikan bayangan Tuhan banyak mengeluarkan pendapat yang ganjil-ganjil tentang Tuhan. Sufi yang dapat melepasi peringkat bayangan akan menjadi seperti ahli fikir golongan ke tiga yang tunduk, menyerah dan beriman. Pengakuan terhadap kedaifan dan kejahilan diri merupakan pintu kepada penyerahan (keislaman) yang sejati yang membawa kepada mengenal Yang Hakiki sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh sebab itulah sufi yang arif bersepakat dengan orang alim yang benar. Titik pertemuan mereka adalah syariat yang menggabungkan yang zahir dengan yang batin.


Tajuk 16
Kebenaran Hakiki