Make your own free website on Tripod.com
 
  23: Contoh Pengalaman Kerohanian


Orang-orang yang meminati tarekat tasauf sangat ingin mengetahui pengalaman kerohanian dan penyaksian yang terjadi kepada orang sufi. Penerangan mengenai perkara tersebut sukar diperolehi. Buku-buku tasauf hanya menceritakan tentang perjalanan kerohanian secara umum. Kadang-kadang diolah dengan cara yang sukar dimengerti, dicampur pula dengan istilah-istilah yang belum pernah didengar. Banyak perkara dibungkus dengan istilah Rahsia; Rahsia Tuhan, Rahsia Insan dan berbagai-bagai Rahsia lagi. Ada pula yang menceritakan pengalaman secara berteka-teki, digunakan huraian yang samar-samar. Semua itu dilakukan dengan alasan orang awam tidak akan mengerti perkara kerohanian yang mendalam. Perkara khusus hanya boleh diperkatakan dalam majlis yang menjadi ahli sahaja. Ada guru-guru yang tarekat melarang murid-muridnya bercakap mengenai perkara kerohanian dengan orang yang berlainan aliran tarekat.

 Apabila intisari pengalaman kerohanian tidak didedahkan, orang ramai yang berminat dalam bidang tersebut mudah terdorong untuk membuat andaian sendiri. Sebahagian mereka menyangkakan ilmu yang diajar secara bersembunyi itulah ilmu yang benar dan ilmu yang diajar secara terbuka tidak sampai kepada kebenaran yang sejati. Dalam alam yang tersembunyi itulah muncul berbagai-bagai ajaran yang kedengaran daripada jauh sebagai ajaran sesat. Apabila dipanggil oleh pihak yang berkuasa pengamal ajaran berkenaan menafikan penglibatan mereka dengan ajaran tersebut. Mereka mengaku menjadi pengikut Ahli Sunah wal Jamaah. Bila dibebaskan mereka kembali semula kepada alam persembunyian mereka. Murid-murid mereka diberitahu bahawa ilmu mereka adalah ilmu wali-wali, hanya wali sahaja boleh mendengar pengajarannya, tidak boleh didedahkan kepada orang yang tidak berjalan pada jalan wali, walaupun mereka adalah pihak yang berkuasa. Alam persembunyian mereka tetap tinggal kukuh. Tidak dapat dipastikan berapa banyak tuhan-tuhan yang muncul dalam alam persembunyian tersebut. Akibatnya tarekat tasauf yang benar dengan tarekat yang sesat sukar dikenalpasti. Di kalangan orang ramai pula mula timbul anggapan serong terhadap orang-orang yang bertarekat tasauf, terutamanya yang memakai jubah. Guru ajaran sesat digambarkan sebagai orang yang berjubah dan berserban. Orang alim pula digambarkan sebagai berpakaian ‘bush jacket’ dan ‘coat’. Ahli tarekat yang benar tidak diterima dengan baik kerana mereka memakai jubah. Inilah yang berlaku apabila tarekat yang sesat berselindung di sebalik jubah dan serban, dan aktiviti mereka tidak didedahkan.

 Dalam menangani masalah penyakit aids, orang ramai didedahkan secara meluas kepada pengetahuan mengenai punca dan tanda-tanda penyakit tersebut. Dalam menangani penyakit sosial yang melibatkan seks, sudah ada usaha menyebarkan pendidikan seks secara terbuka. Penyakit aids dan pengamal seks yang tersalah langkah berpeluang menceritakan pengalaman mereka secara terbuka. Tindakan berani orang-orang yang bersalah dan menyesal itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada orang ramai.

 Di antara semua penyakit, termasuklah penyakit aids, dadah, seks dan semua penyakit, penyakit yang paling besar dan paling merbahaya adalah penyakit sesat akidah. Penyakit lain mungkin menerima pengampunan Tuhan, sekiranya Dia kehendaki, tetapi penyakit sesat akidah tidak diampunkan-Nya. Jika orang lain berpeluang memasuki syurga selepas dicuci di dalam neraka, tetapi orang yang sesat akidah tidak berpeluang meninggalkan neraka. Oleh kerana penyakit ini merugikan manusia di dunia dan di akhirat, usaha membenterasnya mestilah dilakukan sehingga ke akar umbinya. Salah satu kubu persembunyian mereka adalah bahagian kesamaran dalam ajaran tarekat tasauf. Kubu ini mesti diperuntuhkan dengan memperjelaskan apa yang samar supaya tidak ada lagi alasan yang batal bersembunyi di sebalik yang benar. Pendukung ajaran tarekat yang benar berkewajipan melindungi akidah orang ramai daripada fitnah yang ditaburkan oleh nabi-nabi palsu, wali-wali palsu dan guru-guru palsu yang berselindung di sebalik nama tarekat kewalian.

 Pengalaman kerohanian, seperti penyaksian terhadap cahaya-cahaya perlu diperjelaskan agar tidak timbul anggapan bahawa Tuhan adalah cahaya dengan warna yang tertentu. Pengalaman yang dilalui oleh Syeikh Ahmad Sirhindi dimuatkan di sini untuk dijadikan iktibar oleh orang yang terpengaruh dengan ajaran sesat yang mempertuhankan cahaya. Syeikh Ahmad Sirhindi, keturunan Umar al-Khattab, dilahirkan di India. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang tarekat tasauf. Beliau telah menceritakan pengalaman kerohanian beliau.

 Apabila Syeikh Ahmad memutuskan untuk mengikuti jalan kesufian beliau telah pergi kepada mursyid tarekat Naqsabandiah yang bernama Syeikh Muhammad al-Baqi. Syeikh Muhammad menjadi pembimbing Syeikh Ahmad melalui semua peringkat kerohanian. Syeikh Muhammad mentalkinkan zikir Ilmul Zat, iaitu kalimah Allah kepada Syeikh Ahmad. Mursyid Naqsabandiah itu menjuruskan perhatian kerohanian beliau kepada Syeikh Ahmad sehinggalah Syeikh Ahmad mengalami keghairahan dan kelazatan yang amat sangat. Beliau juga mengalami rasa kepiluan yang bersangatan sehingga beliau menangis dengan bersungguh-sungguh. Setelah satu hari mengamalkan zikir Ismul Zat, Syeikh Ahmad dikuasai oleh rasa penafian dan kelenyapan diri. Dalam suasana kerohanian yang demikian beliau menyaksikan laut yang sangat luas. Beliau menyaksikan segala sesuatu sebagai bayang-bayang dalam laut tersebut. Pengalaman demikian menjadi bertambah kuat, mendalam dan cemerlang sehingga memukau jiwa beliau. Beliau mengalami suasana tersebut beberapa lama, kadang-kadang berlarutan sampai satu suku hari, kadang-kadang sehingga separuh hari dan kadang-kadang sampai satu hari penuh. Syeikh Ahmad melapurkan pengalaman beliau itu kepada Syeikh Muhammad. Syeikh Muhammad menjelaskan bahawa apa yang telah dialami oleh Syeikh Ahmad itu merupakan sejenis pengalaman fana dan Syeikh Ahmad dinasihatkan supaya menjaga penyingkapan itu.

 Syeikh Ahmad meneruskan latihannya. Dua hari kemudian beliau mengalami fana yang lebih teratur. Beliau meneruskan latihan sebagaimana yang diajarkan oleh mursyidnya. Seterusnya beliau mencapai fana dalam fana. Syeikh Ahmad melapurkan pengalaman beliau kepada Syeikh Muhammad. Mursyidnya itu bertanyakan sama ada Syeikh Ahmad menyaksikan seluruh alam ini sebagai satu kewujudan dan adakah beliau mendapati kewujudan tersebut bersatu dengan Yang Satu. Syeikh Ahmad memperakui bahawa demikianlah yang beliau telah alami. Mursyidnya menjelaskan bahawa fana dalam fana yang sebenar adalah walaupun disaksikan penyatuan tetapi seseorang itu masuk ke dalam suasana ketidak-sedaran sehingga fana itu sendiri tidak ada dalam kesedarannya. Syeikh Ahmad meneruskan latihannya dan pada malam itu beliau mengalami suasana fana seperti yang digambarkan oleh mursyidnya. Beliau melapurkan pengalaman beliau kepada Syeikh Muhammad, termasuklah pengalaman beliau sebelum memasuki fana. Beliau melapurkan bahawa beliau mendapat ilmu secara langsung dari Tuhan. Beliau juga mendapati sifat-sifat yang menjadi miliknya adalah juga milik Tuhan. Selepas peringkat tersebut beliau maju lagi. Beliau menyaksikan satu cahaya yang membungkus segala sesuatu. Cahaya tersebut berwarna hitam. Beliau menyangkakan apa yang beliau saksikan itu adalah Tuhan. Mursyid beliau menjelaskan apa yang telah beliau alami itu adalah menghadap kepada Tuhan di sebalik hijab cahaya. Ia kelihatan kerana perkaitan Zat Yang Maha Suci dengan alam kebendaan, tetapi ia mesti dinafikan. Selepas penafian itu Syeikh Ahmad mendapati cahaya hitam yang membungkus segala sesuatu itu mula mengecil sehingga menjadi satu titik yang sangat halus. Mursyidnya menyuruhnya menafikan juga titik hitam yang halus itu supaya beliau boleh sampai kepada suasana kehairanan. Syeikh Ahmad mematuhi arahan mursyidnya itu dan titik hitam yang halus itu pun lenyap. Beliau dikuasai oleh suasana kehairanan. Dalam suasana kehairanan itulah Syeikh Ahmad mendapati Tuhan hanya kelihatan kepada Diri-Nya melalui Diri-Nya sendiri. Mursyidnya mengsahkan bahawa apa yang dialami oleh Syeikh Ahmad itu adalah suasana kehadiran yang dicari dalam tarekat Naqsabandiah. Ia dinamakan nisbat bagi tarekat Naqsabandiah. Ia juga dipanggil kehadiran Tuhan secara tiada rupa, bentuk, sifat dan lain-lain. Tahap inilah menjadi tujuan pencarian.

 Maksud nisbat adalah hubungan dengan Tuhan yang tidak putus walau sedetik pun. Nisbat yang jarang terjadi ini dikurniakan kepada Syeikh Ahmad dalam masa dua bulan beberapa hari selepas beliau ditalkinkan oleh Syeikh Muhammad. Selepas tahap nisbat satu lagi bidang fana dikurniakan kepada beliau. Beliau meyakini bahawa fana pada tahap ini adalah fana hakiki. Dalam kefanaan yang demikian beliau menyaksikan hati beliau menjadi besar, menjadi tersangat besar hinggakan seluruh alam termasuklah al-Kursi dan al-Arasy hanyalah seumpama sebiji sawi jika dibandingkan dengan hatinya. Selepas peringkat ini beliau menyaksikan dirinya dan segala sesuatu sebagai Tuhan. Kemudian beliau melihat segala sesuatu dari alam ini menjadi satu dengan dirinya dan dirinya menjadi satu dengan segala sesuatu. Beliau menyaksikan seluruh alam tersembunyi dalam sebiji zarah yang halus. Kemudian pengalaman beliau berubah pula. Beliau menyaksikan zarah dirinya membesar hinggakan beberapa alam boleh diisi di dalamnya. Beliau menyaksikan dirinya atau satu zarah sebagai cahaya yang membesar, memasuki setiap zarah kewujudan sehingga semua rupa dan bentuk alam hilang lenyap di dalamnya. Selepas itu beliau mendapati dirinya atau satu zarah, menanggung alam atau menjadi pasak alam. Mursyidnya menyatakan suasana demikian adalah peringkat haqqul yaqin dalam tauhid, peringkat bersatu dalam kesatuan.

 Selepas peringkat di atas, berlaku pula pengalaman yang berbeza daripada pengalaman penyatuan. Dahulunya Syeikh Ahmad menyaksikan segala sesuatu sebagai Tuhan tanpa ada sebarang perbezaan. Bila memasuki peringkat yang baharu ini beliau mendapati segala sesuatu pada alam bukanlah bersatu dengan Tuhan, tetapi hanyalah bentuk khayalan. Penyatuan hanya berlaku dalam penyaksian mata hati semata-mata. Beliau masuk kepada suasana kehairanan yang menyeluruh. Pada ketika itu beliau teringatkan kata-kata Ibnu Arabi dalam kitab Fusus: “Jika kamu suka kamu boleh panggilnya yang diciptakan atau jika kamu suka kamu boleh panggilnya Tuhan dalam satu aspek dan makhluk dalam aspek yang lain. Kamu boleh juga mengatakan yang kamu tidak mampu membezakan keduanya”. Keterangan dari kitab Fusus itu mententeramkan jiwa Syeikh Ahmad. Bila berkesempatan beliau melapurkan pengalaman beliau kepada Syeikh Muhammad. Mursyid itu memberitahu bahawa Syeikh Ahmad mengalami suasana kehadiran Tuhan tetapi secara tidak jelas. Beliau dinasihatkan supaya meneruskan latihan agar wujud boleh dibezakan daripada khayali. Syeikh Ahmad bertanya kepada mursyidnya mengenai keterangan Ibnu Arabi berhubung pengalaman yang telah dialaminya. Syeikh Muhammad menjelaskan bahawa Ibnu Arabi tidak menceritakan suasana yang sempurna yang berbeza dengan fahaman satu wujud, kerana kebanyakan sufi tidak melepasi peringkat menyaksikan tidak ada perbezaan di antara Tuhan dengan alam. Jika mereka melepasi peringkat tersebut mereka akan menyaksikan perbezaan di antara Tuhan dengan makhluk.

 Syeikh Ahmad meneruskan latihannya. Dalam masa dua hari beliau dikurniakan pengalaman yang memperlihatkan perbezaan di antara Wujud yang sebenar dengan wujud khayali. Beliau mendapati sifat, tindakan dan kesan yang muncul pada wujud bayangan (khayali) sebenarnya datang dari Tuhan. Beliau menyedari sepenuhnya bahawa sifat dan perbuatan tersebut sebenarnya bayangan atau khayalan sepenuhnya dan tiada yang maujud melainkan Tuhan. Mursyidnya menerangkan bahawa beliau sudah sampai kepada peringkat mengalami suasana perbezaan selepas penyatuan, iaitu selepas menyaksikan Wujud Tuhan dan wujud hamba bersatu sebagai satu wujud, beliau melepasi peringkat tersebut dan menyaksikan Wujud Tuhan sebenarnya berbeza daripada wujud hamba. Peringkat ini merupakan tahap terakhir pencapaian manusia. Selepas peringkat ini seseorang itu akan memahami dan menyedari tujuan dia diberi bakat-bakat yang perlu. Inilah peringkat kesempurnaan.

 Syeikh Ahmad Sirhindi meringkaskan perjalanan kerohanian beliau. Bila beliau dibawa kepada peringkat kesedaran sesudah mabuk, baqa sesudah fana dan melihat kepada setiap zarah kewujudan dirinya, beliau tidak melihat sesuatu melainkan Allah s.w.t dan beliau temui ‘cermin’ untuk ‘menanggung’ Tuhan. Kemudian beliau dibawa meninggalkan peringkat tersebut. Beliau masuk ke dalam suasana kehairanan. Bila beliau kembali kepada dirinya beliau dapati Tuhan dan segala yang maujud berada dalam dirinya. Kemudian beliau dibawa lagi ke dalam suasana kehairanan. Selepas itu kesedaran beliau dikembalikan semula dan beliau mendapati Tuhan bukan satu dengan alam, tetapi tidak juga berpisah. Pada peringkat permulaannya beliau menyaksikan Tuhan sebagai meliputi dan menyertai sesuatu, kemudian penyaksian yang demikian hilang sama sekali. Walaupun begitu Tuhan kelihatan kepadanya dengan keadaan tersebut yang membuatnya merasakan seakan-akan Dia. Seterusnya beliau melihat alam tidak ada di samping Tuhan, padahal dahulunya beliau melihat alam berada di samping Tuhan. Beliau kembali semula kepada suasana kehairanan. Kemudian kesedaran beliau kembali lagi. Beliau kini memperolehi pengetahuan yang sangat berbeza daripada pengetahuan beliau sebelumnya. Dalam pengetahuan beliau yang terbaharu ini beliau mendapati hubungan Tuhan dengan alam adalah berlainan daripada apa yang beliau fahamkan dahulu. Hubungan Tuhan dengan alam tidak mampu dihuraikan dan tidak dapat diketahui. Beliau masuk pula ke dalam suasana kehairanan. Beliau merasakan kekerdilan diri. Bila beliau sedar semula beliau mendapat pengetahuan bahawa Tuhan tidak ada hubungan dengan alam secara diketahui atau tidak diketahui. Beliau diberi pengetahuan khusus tentang tidak wujud hubungan di antara Tuhan dengan makhluk walaupun beliau menyaksikan kedua-duanya. Pada tahap ini beliau mendapat pengetahuan bahawa apa juga yang disaksikan, walaupun berunsur ghaib, adalah bukan Tuhan. Ia adalah bentuk simbolik atau misal tentang hubungan Tuhan dan ciptaan-Nya yang melampaui apa juga pengetahuan dan penyaksian. Beliau menemui di akhir perjalanan beliau bahawa masih ada peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat menyaksikan satu wujud. Penyaksian terhadap satu wujud merupakan satu pengalaman yang ditemui dalam perjalanan kerohanian. Setelah melepasi peringkat tersebut seseorang itu akan menjadi sesuai dengan al-Quran dan al-Hadis secara sedikit demi sedikit. Di penghujung perjalanannya kesan penyaksian satu wujud hilang sama sekali dan dia menjadi sesuai sepenuhnya dengan al-Quran dan as-Sunah.

 Dari pengalaman Syeikh Ahmad Sirhindi dapatlah diyakini bahawa bimbingan guru yang arif sangat diperlukan bagi orang yang mahu memasuki perjalanan kerohanian. Tanpa bimbingan guru yang arif sukar bagi seseorang melepasi hijab-hijab yang ditemui di sepanjang perjalanan. Orang yang berhenti di tengah jalan menemui buah yang belum masak. Mereka merasakan buah yang belum masak itu sudah cukup enak. Mereka tidak mengetahui bahawa buah yang sudah masak berlainan rasanya.

 Beberapa orang sufi mungkin mengalami hal yang sama tetapi fahaman yang timbul daripada pengalaman tersebut mungkin berbeza. Ibnu Arabi mengalami suasana satu wujud berpegang kepada fahaman wahdatul wujud. Syeikh Ahmad Sirhindi juga mengalami suasana yang demikian tetapi beliau berpegang kepada fahaman wahdatul syuhud. Syeikh Ahmad telah melepasi peringkat menyaksikan satu wujud dan beliau kembali kepada jalan kenabian. Ramai juga sufi yang tidak terlepas daripada kesan menyaksikan satu wujud, lalu mereka bermukim pada makam yang berfahamkan wahdatul wujud. Sufi tersebut ditarik kepada fahaman demikian kerana kefanaan dan mabuk. Orang yang dalam kesedaran tidak patut mengikuti fahaman yang demikian. Perlulah diketahui bahawa apa yang dialami dalam alam kerohanian tidak semestinya kebenaran yang sejati. Alam demikian lebih merupakan Alam Misal yang menceritakan sesuatu tentang Kebenaran Hakiki yang melampaui misal. Misal dalam alam kerohanian boleh dialami secara penyaksian atau zauk (rasa). Ketika melalui daerah-daerah Latifah Rabbaniah seseorang boleh menyaksikan cahaya-cahaya dan mengalami zauk Hakikat-hakikat Kenabian. Cahaya yang disaksikan dalam daerah latifah  boleh mempesonakan seseorang dan hakikat kenabian boleh membalikkan pandangan seseorang. Ada orang yang keliru dengan cahaya, menyangkakan Tuhan sebagai cahaya cuaca subuh. Ada orang yang keliru dengan hakikat kenabian, menyangkakan dirinya menyatu dengan nabi-nabi atau terus mendakwakan dirinya sebagai nabi Ada sebahagian daripada mereka yang mencuba untuk mencungkil ‘Rahsia’. Mereka menyatukan diri mereka dengan Nabi Adam a.s dan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka tidak ada bezanya diri mereka dengan Adam dan Muhammad. Fahaman mereka sudah jauh menyimpang dari kebenaran. Perjalanan jasad dengan perjalanan roh lebih kurang sahaja. Manusia dari aspek jasad datang dari jasad yang satu iaitu jasad Adam. Walaupun bersumberkan jasad yang satu tetapi sekalian jasad-jasad merdeka daripada jasad yang satu itu dan juga setiap jasad tidak terikat dengan jasad yang lain. Setelah jasad Adam mengalami mati, jasad-jasad lain tidak ikut mati bersamanya. Jika jasad Saleh dipotong, jasad Yusuf tidak ikut terpotong. Setiap jasad bebas dengan perjalanannya, menanggung bahagia atau celakanya sendiri. Begitu juga dengan perjalanan rohani atau roh. Jika roh Nabi Muhammad s.a.w bahagia, roh Abu Jahal tidak ikut bahagia. Jika roh dan jasad Nabi Ibrahim a.s dimasukkan ke dalam syurga, roh dan jasad Namrud tidak ikut memasuki syurga. Sekalipun sekalian roh-roh bersumberkan roh yang satu tetapi roh individu bebas dengan perjalanannya sebagaimana jasad bebas berbuat demikian. Fahaman menyatukan jasad atau roh seseorang dengan jasad atau roh orang lain adalah fahaman yang keliru. Orang yang mengalami jazbah mungkin terbalik pandangannya dan mengalami suasana penyatuan, tetapi penyatuan tersebut hanya berlaku dalam alam perasaannya, bukan itulah yang sebenarnya berlaku. Tanpa bimbingan guru yang arif orang tersebut akan berterusan berada di dalam gambaran khayalannya atau di dalam alam bayangan.


Tajuk 24
KANDUNGAN