Make your own free website on Tripod.com
 
  28: Ciri-ciri Dan Doktrin Munafik


Gerakan munafik bermula di Madinah di bawah pimpinan Abdullah bin Ubai. Abdullah bin Ubai, sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w ke Madinah, merupakan seorang yang sangat berpengaruh di sana sebagaimana kedudukan Abu Sufyan di Makkah. Selepas Perang Bu’as tamat penduduk Madinah (nama asalnya Yasrib) sudah sepakat untuk melantik Abdullah bin Ubai sebagai raja di Madinah, malah mahkotanya pun sudah siap dibuat. Masyarakat Madinah bersetuju melantik Abdullah bin Ubai menjadi raja menunjukkan dia memiliki sifat-sifat yang menyebabkan dia dihormati dan dimuliakan.

 Sebelum Nabi Muhammad s.a.w berhijrah ke Madinah, kaum Yahudi sudah lama bertapak di sana. Kaum Yahudi dikenali sebagai ahli Kitab, orang beragama yang memiliki peradaban yang mulia. Kaum Yahudi juga menguasai bidang ekonomi dan mempunyai kekuatan dalam bidang ketenteraan. Kaum Yahudi yang dikenali sebagai ahli agama, ahli ilmu, ahli ekonomi dan ahli ketenteraan menyebabkan mereka dipandang tinggi oleh orang Arab Madinah.

 Orang Arab Madinah memandang kaum Yahudi sebagai manusia yang berjaya dan disegani. Kedudukan kaum Yahudi yang demikian menyebabkan orang Arab Madinah suka meniru peradaban Yahudi tetapi mereka tidak memeluk agama Yahudi. Bagi orang Arab agama Yahudi dilihat sebagai khusus untuk orang Yahudi sahaja. Walaupun tidak menerima agama Yahudi tetapi banyak daripada nilai-nilai moral Yahudi diterima pakai oleh orang Arab Madinah.

 Golongan Arab Madinah yang berilmu merupakan orang yang paling banyak menceduk peradaban Yahudi dan meng-Arabkan peradaban tersebut. Di antara mereka adalah Abdullah bin Ubai. Kumpulan Abdullah bin Ubai mempraktikkan nilai-nilai moral yang lebih tinggi daripada orang Arab Madinah yang lain. Oleh kerana itu mereka dipandang tinggi dan dihormati. Ketika Perang Bu’as hampir berlaku di antara dua puak terbesar di Madinah, kumpulan Abdullah bin Ubai menentang suku-suku mereka yang mahu berperang itu. Bila peperangan berlaku juga Abdullah bin Ubai tidak ikut serta dalam peperangan tersebut. Sikap berkecualinya itulah yang menyebabkan dia dicadangkan untuk menjadi raja setelah kedua-dua pihak yang berperang itu berdamai.

Walaupun menimba dari telaga Yahudi namun ahli fikir Arab Madinah mempertahankan ke-Araban mereka. Sikap yang demikian menyebabkan terbentuk aliran pemikiran yang kabur. Ia bukan Yahudi dan bukan juga Arab. Mereka menganggap diri mereka setaraf dengan orang Yahudi yang berilmu dan mereka lebih mulia daripada umat Arab yang jahil. Oleh kerana apa yang terbentuk dalam aliran pemikiran mereka tidak jelas, maka tidak ada satu bentuk kepercayaan atau akidah yang mereka pertahankan. Mereka mempertahankan satu perkara sahaja, iaitu merekalah golongan Arab yang paling pintar dan apa sahaja yang datang daripada orang Arab yang lain tidak sama dengan apa yang ada dengan mereka. Apabila agama Islam datang ke Madinah dibawa oleh orang Arab Makkah, kumpulan Abdullah bin Ubai itu sudah ada keputusan sejak awal-awal lagi untuk menolaknya. Mereka menganggap apa yang baharu datang itu lebih rendah daripada apa yang ada dengan mereka. Mereka menjadi golongan yang tidak mempertahankan sebarang kepercayaan dan juga tidak ada satu kepercayaan yang mereka terima. Sebagaimana puak Yahudi yang menganggap semua bangsa di dunia lebih rendah daripada mereka, begitu juga kumpulan Abdullah bin Ubai yang meminum air daripada telaga Yahudi menganggap semua orang Arab lebih rendah daripada mereka. Mereka memandang rendah apa sahaja yang datang daripada orang Arab yang lain. Mereka adalah puak yang sudah ada keputusan untuk mengunci mata, telinga dan hati mereka daripada segala agama yang datang kepada mereka.

Arus perkembangan Islam melanda Madinah dengan deras dan menyeluruh. Dalam masa kurang daripada satu tahun hampir keseluruhan penduduk Madinah sudah memeluk agama Islam. Segala aktiviti berpusat kepada Nabi Muhammad s.a.w dan agama Islam. Kumpulan Abdullah bin Ubai yang memandang diri mereka sebagai lebih mulia itu tidak ada pilihan melainkan ikut serta di dalam rentak perkembangan Madinah, jika tidak mereka akan tersisih. Penyertaan mereka di dalam arus tersebut juga bertujuan mencari jalan merampas semula kekuasaan di Madinah sebagaimana sebelum kedatangan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w ke sana. Mereka mahu orang-orang Makkah meninggalkan Madinah.

Oleh kerana mereka tidak mempunyai satu bentuk kepercayaan yang jelas dan tidak ada satu agama yang mereka pertahankan, maka mereka boleh bergerak cergas dalam apa juga medan kepercayaan atau agama. Istilah dosa, pahala, syurga, neraka, hari kiamat, halal dan haram tidak ada pada mereka. Akhirat tidak ada dalam pandangan mereka. Apabila tidak ada agama yang diperjuangkan dan tidak ada kepercayaan kepada perkara ghaib, kumpulan tersebut menyertai kegiatan agama orang lain dalam keadaan yang dipanggil munafik. Mereka memakai baju agama padahal mereka tidak ikhlas berbuat demikian dan tidak merelakannya.

Munafik berbeza daripada kafir. Orang kafir tidak percaya kepada agama Islam kerana mereka mempunyai kepercayaan sendiri dan mereka pertahankan kepercayaan tersebut. Penentangan mereka terhadap Islam adalah jelas. Orang munafik pula di samping tidak beriman kepada agama Islam, mereka tidak mendatangkan kepercayaan yang menjadi alternatif dan mereka tidak menyebarkan sebarang bentuk kepercayaan. Oleh yang demikian mereka boleh menyertai kegiatan Islam seolah-olah mereka adalah orang Islam sejati dan mereka boleh menentang Islam seolah-olah mereka adalah orang kafir tulin. Mereka menganggapkan Islam sebagai baju yang boleh dipakai dan ditanggalkan menurut keadaan yang membawa keuntungan kepada mereka.
Al-Quran menceritakan keadaan puak munafik:

Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”. Padahal mereka bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang yang beriman, padahal mereka tidak perdayakan melainkan diri mereka sendiri sedangkan mereka tidak sedar. Di hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakit kepada mereka dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih sebab mereka telah berdusta. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Kami tidak lain melainkan orang yang membuat kebaikan”. Ketahuilah bahawa mereka itu adalah orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar. Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Berimanlah sebagaimana orang yang telah beriman”. Mereka berkata, “Apakah harus kami beriman seperti orang-orang bodoh itu beriman?” Ketahuilah mereka itulah orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak ketahui. Dan apabila mereka bertemu dengan orang yang beriman mereka berkata, “Kami telah beriman”. Apabila bersendirian dengan syaitan-syaitan mereka, mereka berkata, “Kami beserta kamu. Kami tidak lain melainkan memperolok-olokkan (orang yang beriman)”. ( Ayat 8-14 : Surah al-Baqarah )
Yang tuli, yang bisu, yang buta. Lantaran itu mereka tidak akan kembali. ( Ayat 18 : Surah al-Baqarah )

 Orang munafik sangat berbeza daripada orang kafir. Orang kafir dengan tegas menyatakan tidak beriman baik secara terang atau pun secara bersembunyi. Ancaman azab neraka dan pujukan nikmat syurga tidak menarik orang kafir kepada iman. Orang munafik pula mengucap dua Kalimah Syahadah dengan lidah mereka dan tidak keberatan menyertai amalan ibadat bersama-sama orang Islam yang lain, tetapi ucapan dan ibadat yang dilakukan itu tidak berbekas pada hati mereka. Mulut mereka mengatakan beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat tetapi hati mereka kufur. Mereka adalah orang yang Islam pada zahir tetapi kafir pada hati. Perbuatan zahir mereka sesuai dengan perbuatan orang yang beriman kerana mereka mahu menyembunyikan apa yang ada dalam hati mereka. Ada kepentingan diri yang mereka mahu jaga.

 Puak munafik tidak mengakui kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Bagi mereka Nabi Muhammad s.a.w hanyalah seorang lelaki Arab yang sama dengan lelaki Arab yang lain, yang tergolong dalam kalangan bangsa Arab yang mereka pandang lebih rendah daripada mereka. Mereka menolak kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mahu agar baginda s.a.w mengikuti kepimpinan mereka. Mereka juga tidak mempunyai perasaan hormat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Oleh kerana mereka menganggapkan Nabi Muhammad s.a.w, maka mereka tidak menerima kedudukan wahyu sebagai Kalam Allah s.w.t. Mereka menganggap wahyu hanyalah perkataan Nabi Muhammad s.a.w yang sama dengan perkataan orang lain yang boleh dihujah dan ditolak. Puak munafik, dengan kerjasama kaum Yahudi, sangat aktif di dalam mempertikaikan wahyu dan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

 Tuhan memperingatkan Rasulullah s.a.w supaya berwaspada terhadap puak munafik yang akan mencuba untuk membawa baginda s.a.w tunduk kepada pemimpin mereka. Baginda s.a.w diperingatkan bahawa puak munafik itu tidak suka kepada baginda s.a.w.

Wahai Nabi! Berbaktilah kepada Allah dan jangan engkau taat kepada kafir-kafir dan munafik-munafik, sesungguhnya Allah adalah Mengetahui, Bijaksana. ( Ayat 1 : Surah al-Ahzaab )
Dan jangan engkau tunduk kepada orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan biarkanlah gangguan mereka. Dan berserah dirilah kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pengawal. ( Ayat 48 : Surah al-Ahzaab )
Dan apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah kepada apa yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya”, kamu melihat orang munafik berpaling daripadamu sungguh-sungguh. (ayat 61 : Surah an-Nisaa’ )
Dan dari kalangan mereka ada yang menyakiti Nabi dan mereka berkata, “Dia itu pendengar!” (Maksudnya mengiyakan sahaja apa yang orang lain kata). Katakanlah: “Dia memang pendengar kebaikan kamu, dia beriman kepada Allah dan dia percaya kepada mereka yang beriman, dan jadi rahmat bagi orang yang beriman di antara kamu”. Dan mereka yang menyakiti Rasul Allah bagi mereka azab yang pedih. ( Ayat 61 : Surah at-Taubah )

 Sangat sukar menangani puak munafik kerana secara terangnya mereka mengaku beriman walaupun hati mereka menolak. Mereka juga sanggup bersumpah bagi menegakkan benang basah.

Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah kepada kamu untuk menyenangkan kamu, padahal Allah dan Rasul-Nya yang lebih patut mereka sukakan jika adalah mereka orang yang beriman. ( Ayat 62 : Surah at-Taubah )

 Oleh kerana puak munafik hidup dalam kepura-puraan mereka sangat takut jika rahsia mereka diketahui oleh orang lain.

Amat takut orang munafik itu bahawa  akan diturunkan atas mereka suatu surah yang mengkhabarkan kepada mereka apa yang ada dalam hati mereka. Katakanlah: “Perolok-olokkanlah! Sesungguhnya Allah akan mengeluarkan apa yang kamu takutkan itu”. (Ayat 64 : Surah at-Taubah )

 Apabila tembelang mereka pecah puak munafik itu akan berdalih secara selamba dan mudah. Bila bertembung dengan kebenaran yang tidak dapat dielakkan puak munafik tidak akan mempertahankan kesesatan dan kebohongan yang mereka telah lakukan.

Dan jika engkau tanyakan kepada mereka tentu mereka akan berkata, “Kami ini hanya bergurau senda dan bermain-main”. Katakanlah: “Apakah dengan Allah dan ayat-ayat-Nya dan (dengan) Rasul-Nya kamu hendak berolok-olok?” ( Ayat 65 : Surah at-Taubah )

 Puak munafik menyebarkan ajaran yang menyalahi syariat Islam. Apabila syariat meletakkan peraturan amal makruf dan mencegah yang munkar, puak munafik akan menilai yang makruf sebagai keuntungan duniawi dan yang munkar pula sebagai kerugiannya. Mereka menganggap zakat dan sedekah sebagai bukan amal makruf kerana ia merugikan dari segi keduniaan.

Laki-laki munafik dan perempuan munafik yang sebahagian mereka adalah dari yang sebahagian, mereka menyuruh yang munkar dan melarang dari yang makruf dan mereka genggamkan tangan mereka (bakhil). Mereka telah melupakan Allah dan Allah pun melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itu adalah orang yang fasik (melewati batas). ( Ayat 67 : Surah at-Taubah )

 Puak munafik pandai berdolak-dalih. Mereka berani menggunakan nama Allah bagi menutup kesesatan dan kekufuran mereka. Tuhan memerintahkan Nabi s.a.w agar berjihad memerangi orang munafik kerana mereka adalah orang yang kufur.

Wahai Nabi! Berjihadlah terhadap kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka. Tempat kembali mereka adalah jahanam dan itulah yang seburuk-buruk kesudahan. Mereka akan bersumpah dengan Nama Allah bahawa mereka tidak pernah berkata, padahal mereka pernah mengatakan kalimat kufur dan mereka telah kafir sesudah Islam dan mereka sangat mengingini apa yang tidak dapat mereka capai. Dan tidaklah kebencian mereka itu melainkan kerana Allah dan Rasul-Nya telah memperkayakan orang yang beriman dengan kurnia-Nya. Tetapi jika mereka bertaubat adalah baik  bagi mereka dan jika mereka berpaling, Allah akan azabkan mereka dengan satu azab yang pedih di dunia dan di akhirat; dan tidak ada bagi mereka pembantu di bumi dan tidak ada penolong. ( Ayat 73 – 74 : Surah at-Taubah )

 Al-Quran memberi peringatan tentang ancaman puak munafik terhadap keselamatan dan kepercayaan orang yang beriman. Tuhan menamakan satu surah al-Quran dengan nama surah al-Munafiqun, bagi menyedarkan kaum Muslimin betapa bahayanya kehadiran puak munafik di dalam masyarakat kaum Muslimin. Tuhan menggesa Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muslimin semua zaman agar berwaspada terhadap tipu daya dan fitnah yang datang daripada puak munafik.

Apabila orang munafik datang kepada kamu mereka akan berkata, “Kami mengakui bahawasanya kamu Rasul Allah,” padahal Allah mengetahui bahawasanya engkau pesuruh-Nya dan Allah menyaksikan bahawasanya kaum munafik itu adalah orang yang berdusta. Mereka jadikan sumpah-sumpah mereka sebagai perlindungan, lalu mereka halangi manusia dari jalan Allah. Sesungguhnya jelek apa yang telah mereka kerjakan. Yang demikian (adalah) lantaran beriman kemudian mereka kufur, lalu dimetrai atas hati mereka; oleh itu mereka tidak dapat memahami. ( Ayat 1 – 3 : Surah al-Munafiquun )
Dan apabila engkau lihat mereka, menghairankan kamu tubuh-tubuh mereka; dan jika mereka berkata-kata, engkau dengarkan perkataan mereka. Mereka seolah-olah kayu yang disandarkan. Tiap-tiap teriakan mereka sangka buat membahayakan mereka. Mereka adalah musuh; maka hendaklah engkau awasi mereka. Allah laknati mereka! Ke manakah mereka dipalingkan? ( Ayat 4 : Surah al-Munafiquun )

 Tuhan memperingatkan sungguh-sungguh kepada Nabi s.a.w dan kaum Muslimin sekaliannya pada semua zaman, supaya jangan membiarkan racun yang ditabur oleh golongan munafik memusnahkan umat. Sekali lagi Tuhan memberi peringatan!

Wahai Nabi! Berjihadlah menentang kaum kafir dan munafik dan berlaku keraslah terhadap mereka dan tempat kembali mereka itu adalah jahanam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. ( Ayat 9 : Surah at-Tahrim )

 Tuhan memberi peringatan kepada kaum Muslimin, sekiranya kegiatan puak munafik yang mencampur adukkan kesesatan dan kekufuran ke dalam akidah Islam tidak dibendung, nescaya umat Islam akan menemui kehancuran. Setiap umat Islam mestilah berwaspada terhadap orang munafik yang berada di tengah-tengah mereka. Tanda munafik mudah dikenal melalui keengganan mereka berjuang pada jalan Allah s.w.t.

Dan supaya dibuktikan-Nya pula keadaan orang-orang munafik. Dikatakan kepada mereka: “Marilah berperang pada jalan Allah atau pertahankanlah.” Mereka menjawab, “Kalau kami tahu berperang nescaya kami ikut kamu (berperang).” Mereka itu pada hari tersebut lebih hampir kepada kufur daripada kepada iman. Mereka berkata dengan mulut mereka apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dan Allah lebih Mengetahui apa-apa yang mereka sembunyikan. (Adalah) mereka yang berkata kepada saudara-saudara mereka sambil mundur, “Kalau mereka ikut kami tentu mereka tidak terbunuh.” Katakanlah: “Kalau begitu tolakkanlah kematian daripada kamu jika memang kamu orang yang benar.” ( Ayat 167 – 168 : Surah a-Li ‘Imraan )

 Kemunafikan lebih ketara melalui amalan yang mereka lakukan sambil lewa sahaja, semata-mata sebagai pameran.

Orang munafik menipu Allah dan Allah pun (balas) menipu mereka. Dan apabila mereka berdiri kepada sembahyang mereka berdiri dalam keadaan malas. Mereka menunjuk-nunjuk kepada manusia dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit. Keadaan mereka terumbang ambing di antara yang demikian itu, tidak kepada mereka itu, tidak kepada mereka ini; kerana barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidak akan engkau dapat satu jalan (keselamatan) baginya. ( Ayat 142 – 143 : Surah an-Nisaa’ )

 Tuhan memberi amaran yang keras kepada orang munafik:

Sesungguhnya jika tidak berhenti juga orang munafik itu dan orang yang dalam hatinya ada penyakit dan pengacau-pengacau di Madinah, nescaya Kami akan kerahkan engkau terhadap mereka. Kemudian itu tidaklah mereka akan bertetangga lagi dengan engkau di situ kecuali bagi masa yang singkat. Mereka di dalam keadaan terkutuk di mana sahaja mereka dijumpai dan mereka akan dibunuh sampai semusnah-musnahnya. Sunah Allah yang telah berlaku pada orang-orang yang terdahulu. Dan sekali-kali tidak akan didapati bagi Sunnatullah itu satu pengganti. ( Ayat 60 –62 : Surah al-Ahzaab )

 Al-Quran telah memberi gambaran yang jelas tentang orang munafik. Rasulullah s.a.w dan kaum Muslimin mengenali puak munafik yang ada di dalam masyarakat mereka. Mereka dapat menunjukkan dengan jelas bahawa Abdullah bin Ubai adalah pemimpin puak munafik. Keterangan yang telah diberikan oleh al-Quran memberi manfaat bagi kaum Muslimin dalam mengawasi pergerakan puak munafik agar perpaduan, keselamatan dan kesejahteraan kaum Muslimin dapat dipelihara. Umat Islam yang datang kemudian mestilah memerhatikan petunjuk daripada al-Quran bagi mengenali musuh-musuh mereka.

 Abdullah bin Ubai telah pun mati. Markas puak munafik, sebuah masjid yang dibina di Zu Awan, sudah pun dibakar oleh kaum Muslimin pada zaman Rasulullah s.a.w. Tetapi kaum Muslimin perlu berwaspada kerana racun munafik masih berjalan hingga ke hari ini.

 Puak munafik terdiri daripada orang-orang yang sangat licik. Mereka hidup bersama-sama orang Islam, mengaku sebagai orang Islam dan melibatkan diri dalam kegiatan kaum Muslimin, malah mereka merasakan yang mereka lebih Islam daripada orang-orang Islam yang lain. Memang sukar untuk mengenali hati yang munafik, sedangkan mulutnya mengucapkan dua Kalimah Syahadah dan anggotanya melakukan ibadat bersama-sama kaum Muslimin yang lain. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, sebagai orang Islam dan menggunakan ajaran Islam. Orang munafik melakukan apa yang sudah dibuat oleh kaum Yahudi dan Nasrani, iaitu mengubah maksud kitab Allah dan meminda syariat Islam. Mereka mengadakan tafsiran al-Quran menurut cara mereka sendiri. Puak munafik adalah ilmuan yang mengeluarkan al-Quran tiruan dan Hadis palsu, terutamanya dalam soal yang bersangkutan dengan akidah dan kebatinan. Daripada puak yang demikianlah muncul istilah kebudayaan Islam yang ditampalkan kepada kegiatan maksiat yang berlawanan dengan syariat Tuhan. Lahir pula persatuan Islam pada nama tetapi bergiat memecah-belahkan perpaduan umat Islam. Ada pula istilah seni bina Islam diletakkan pada bangunan yang digunakan sebagai sarang perjudian dan pelacuran. Lebih buruk lagi timbul akidah syirik yang dikatakan sebagai akidah Islam yang sebenarnya. Racun yang dikeluarkan oleh Abdullah bin Ubai dan kawan-kawannya sudah meresap ke dalam darah daging umat Islam di seluruh dunia pada masa kini. Hanya bimbingan daripada Allah s.w.t dapat menyelamatkan umat Islam daripada fitnah puak munafik itu.

 Orang munafik tidak mempunyai kepercayaan dan pegangan yang jelas. Mereka sendiri tidak pasti apakah yang mereka pegang dan imankan. Mereka bergerak berlandaskan kepercayaan dan pegangan orang lain dengan mengadakan perubahan kepada yang asli, tetapi mereka tetap menggunakan label yang asli, seperti lembu yang mati di tepi jalan diletakkan label halal. Orang munafik bergerak di dalam masyarakat orang Islam, bercakap pasal Islam, tetapi apa yang mereka bawa adalah perkara yang sudah diselewengkan. Orang yang berilmu dapat melihat penyelewengan tersebut tetapi orang jahil akan keliru kerana si munafik bercakap tentang Allah s.w.t dan agama Islam. Lebih-lebih lagi si munafik itu pandai menggunakan hujah keagamaan, terutamanya secara usul yang tidak ada kesudahan. Mereka suka menggunakan cara berteka teki yang sukar dimengerti. Lebih mengelirukan lagi apabila si munafik berhujah dengan menyandarkan kepada Hadis Nabi s.a.w, perkataan sahabat dan wali-wali yang mereka gubah sendiri, yang tidak diketahui oleh orang jahil. Si munafik boleh bersumpah bohong dengan menggunakan nama Allah bagi memerangkap orang yang jahil. Orang Islam yang jahil mudah terperangkap dengan ajaran sesat orang munafik. Kegiatan orang munafik menjadi lebih mudah setelah berlaku proses asimilasi agama-agama lain seperti Buddha, Hindu dan Keristian ke dalam agama Islam.

Setiap kaum Muslimin yang insaf berkewajipan menyelak setiap hamparan dan membongkar setiap tutupan bagi mencari racun munafik yang bersembunyi di dalam kalangan umat Islam. Racun tersebut mestilah dikeluarkan. Inilah jihad kaum Muslimin zaman ini!
 


Tajuk 29
KANDUNGAN