41: PENUTUP


Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang ‘arkitek’ dan ‘jurutera’ yang paling arif dalam membuat rekabentuk dan mendirikan bangunan Islam. Sesiapa sahaja yang mahu mendirikan bangunan Islam mestilah merujuk kepada pelan dan bangunan yang sudah baginda asaskan pembinaannya. Dasar yang baginda s.a.w rekabentukkan sudah mengambil kira keperluan struktur tambahan yang akan diperlukan di kemudian hari nanti, sesuai dengan perubahan zaman dan suasana. Namun ada had struktur tambahan yang boleh diterimanya. Jika tambahan dilakukan secara tidak bersesuaian dengan pelan dasarnya maka yang dibina itu akan runtuh. Hanya arkitek dan jurutera yang mahir sahaja, yang ilmu mereka sesuai dengan ilmu Nabi Muhammad s.a.w yang boleh mendirikan struktur tambahan tanpa membahayakan bangunan yang dibina.

Benih Islam yang ditanam oleh Nabi Muhammad s.a.w sudah tumbuh menjadi sebatang pokok yang tegap dan rendang. Akar tunjangnya tertanam kejap di dalam bumi. Pokok tersebut sudah sempurna tumbuhnya sewaktu Nabi Muhammad s.a.w masih hidup. Ia telah mengeluarkan dahan-dahan, ranting-ranting, bunga-bunga dan buah-buah pada segenap arah. Tidak ada satu arah pun yang tidak dicapai olehnya. Walaupun begitu pokok yang begitu subur masih mampu mengeluarkan dahan baharu, ranting baharu, daun baharu, bunga baharu dan buah baharu sebagai tambahan kepada pokok yang asal. Sekalipun bahagian tersebut baharu tumbuh tetapi ia tetap daripada pokok yang sama, yang tumbuh bersama peredaran masa. Selagi yang baharu tumbuh itu daripada pokok yang sama maka ia tetap mempunyai zat yang sama dengan pokok yang ditanam oleh Rasulullah s.a.w. Sekiranya yang baharu tumbuh itu datangnya daripada pokok yang baharu ditanam, maka ia tidak sesuai lagi dengan pokok asal yang ditanam oleh Rasulullah s.a.w. Oleh yang demikian setiap Muslim haruslah berwaspada terhadap pembaharuan yang dilakukan. Dahan dan ranting boleh bertambah tetapi mestilah daripada pokok yang sama.

 Penambahan dan pembaharuan boleh muncul dalam bidang yang bersangkutan dengan dunia dan juga akhirat. Perubahan zaman mengwujudkan sistem teknologi, perekonomian, sosial dan politik yang lebih kompleks. Jangan dikira sesuatu yang kompleks itu tidak dapat ditangani oleh Islam. Jangan mudah beralih kepada sesuatu yang bukan Islam. Selusur kembali dari ranting ke dahan, dari dahan ke batang dan seterusnya ke akar umbi. Jika proses penyelusuran itu dilakukan dengan bijaksana dan ia boleh kembali kepada dasarnya, maka yang sudah ada mampu menangani apa yang baharu dijumpai itu. Jika tidak ditemui jalan kembali, maka mulakan daripada akarnya, kepada batangnya, dan dahannya. Kemudian baharu pergi kepada ranting yang baharu tumbuh, yang terdapat buah kepada permasalahan yang baharu mendatang itu.

 Ketelitian yang lebih lagi diperlukan dalam menangani permasalahan yang menyentuh soal akhirat dan hubungan dengan Tuhan terutamanya dalam soal aliran tarekat. Walau apa juga nama diletakkan kepada sesuatu aliran tarekat itu, janganlah dialih pandangan daripada dasarnya, iaitu tarekat Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan tarekat yang paling benar dan paling baik. Tarekat yang datang kemudian mestilah membentuk kehidupan yang bersesuaian dengan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Jangan membentuk ideologi dan tatacara yang tersendiri. Selagi tidak ditemui persesuaian dengan Sunah Rasulullah s.a.w janganlah dikira sudah berakhir perjalanan tarekat. Jika tidak ditemui juga, maka aliran tarekat yang sedang diikuti itu haruslah ditinggalkan kerana ia mungkin dahan yang tumbuh daripada pokok yang tidak ditanam oleh Rasulullah s.a.w dan ia tidak mampu membawa kepada Yang Haq.

Tujuan kehidupan di bumi bukan mencari makam dan pengalaman kerohanian, tetapi membentuk kehidupan yang bersesuaian dengan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Peri kehidupan baginda s.a.w dan para sahabat hendaklah difahami benar-benar. Apa yang tersembunyi dalam Sir Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat  nyata keluar sebagai buahnya yang dapat dilihat pada rupa tarekat, Islam, iman, tauhid, hakikat dan makrifat yang keluar daripada mereka. Sekaliannya itu menyata dalam perilaku kehidupan mereka. Setiap orang Islam mestilah mengeluarkan buah yang serupa, baharulah benar-benar sah bahawa  yang tersembunyi dalam dirinya serupa dengan yang ada pada Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Jika perilaku masih menyerupai orang kafir, orang munafik, orang fasiq dan tidak melepaskan maksiat, janganlah dianggap diri sudah berada di atas jalan yang benar. Jika akhlak tidak mengikuti akhlak Rasulullah s.a.w dan para sahabat janganlah mengira diri sudah menjadi orang arif dan memiliki ilmu yang sesuai dengan ilmu Rasulullah s.a.w. Jika tidak dapat membezakan yang benar dengan yang batal janganlah menyangka diri sudah menjadi ahli hakikat dan ahli makrifat. Tidak dinamakan bermakrifat jika tidak mengenal hakikat yang benar dan yang salah, tidak tahu yang halal dan yang haram dan tidak boleh membezakan Tuhan dengan hamba Tuhan.

 Tujuan bersyariat dan bertarekat adalah untuk menghidupkan alat yang di dalam diri yang mampu mengasingkan yang benar daripada yang batal, yang benar daripada yang salah. Apabila keupayaan mengasingkan yang benar daripada yang batal itu menjadi sifat yang sebati, baharulah sah bahawa syariat dan tarekat yang diamalkannya itu mengeluarkan buah yang baik. Daya dan upaya yang memisahkan yang benar daripada yang salah secara spontan adalah buah kepada makrifat. Tanpa daya dan upaya tersebut orang yang mengaku dirinya bermakrifat sebenarnya menanam pokok yang tidak berbuah. Duri dan parasit yang muncul pada batangnya disangkakan buah yang enak. Akibatnya mereka memakan duri dan parasit tanpa mereka sedari.

 Daya dan upaya yang mampu mengasingkan yang benar daripada yang salah secara spontan akan melahirkan ghirah (kecemburuan) dalam jiwa orang-orang yang beriman. Keghirahan itu yang membuat orang beriman mempertahankan kebenaran agamanya, tidak mengizinkan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dipersendakan atau diperhinakan dan tidak sekali-kali membiarkan perbuatan syirik dan mungkar bermaharajalela di dalam kalangan umat. Keghirahan itu yang membuat orang yang beriman mempertahankan peraturan Islam, tidak sekali-kali merombak apa yang sudah siap ditenun oleh Nabi Muhammad s.a.w. Hati mukmin yang ghirah mencintai Allah s.w.t, mencinta Rasul Allah, mencintai berjuang pada jalan Allah dan juga mencinta makhluk Allah. Sahabat-sahabat baginda s.a.w telah membuktikan kecintaan mereka kepada umat manusia dengan kesediaan diri mereka terkorban dan harta benda mereka melayang demi menyelamatkan umat manusia daripada api neraka. Mukmin yang ghirah bekerja menarik manusia kepada syurga dan menutup jalan-jalan ke neraka.

Segala puji-pujian bagi Allah, Pemelihara sekalian alam. Selawat disertai salam  atas yang paling mulia di antara Rasul-rasul, Muhammad Rasul yang Amin, dan atas sekalian keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Maha Suci Tuhan dengan segala Kemuliaan-Nya dan berfirman dengannya. Maha Suci Tuhan yang bersifat dengan Kebesaran dan Kemurahan. Maha Suci Tuhan yang menghinggakan bilangan sesuatu dengan Ilmu-Nya. Maha Suci Tuhan yang tiada layaknya Tasbih melainkan untuk-Nya. Maha Suci Tuhan yang mempunyai nikmat dan kurnia. Maha Suci Tuhan yang memiliki Kebesaran dan Kemuliaan. Maha Suci Tuhan yang mempunyai kekuasaan. Daku bermohon kepada Tuhan dengan Kemuliaan Arasy-Mu dengan Rahmat-Mu yang setinggi-tingginya dari Kitab-Mu, dengan Nama-Mu Yang Agung. Kesungguhan-Mu yang tinggi dan Kalimat-Mu Yang Sempurna lagi Lengkap yang tidak dilampaui oleh orang yang berbuat baik dan orang yang berbuat kejahatan. Anugerahilah Rahmat Kurnia-Mu kepada Nabi Muhammad s.a.w dan keluarga Nabi Muhammad s.a.w.

Wahai Tuhan yang mensejahterakan. Sejahterakanlah agama kami, sejahterakanlah iman kami, sejahterakanlah tauhid kami, sejahterakanlah makrifat kami, sejahterakanlah roh kami dan sejehterakanlah jasad kami. Wahai Yang Memberi Rahmat dan Yang Mengasihani.

Wahai Tuhan kami. Janganlah Engkau seksa kami sekiranya kami lupa atau kami keliru. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan atas kami seksa sebagaimana Engkau pikulkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan atas kami (perintah-perintah) yang tidak kuat kami mengerjakannya; dan hapuskanlah (dosa-dosa) kami, dan lindungilah kami (daripada dosa-dosa), dan kasihanilah kami. Engkau jua Penolong kami; oleh sebab itu tolonglah kami atas (mengalahkan) kaum yang kafir.

Wahai Tuhan kami! Berilah kami di dunia kebaikan dan di akhirat pun kebaikan. Dan peliharalah kami daripada seksaan neraka.

Selawat serta salam ke atas Sayyidina Muhammad, ke atas keluarga dan sahabat-sahabat baginda s.a.w.

Maha Suci Tuhanmu, Tuhan Maha Perkasa dari apa yang mereka sifatkan. Dan sejahtera atas mereka yang diutus. Dan segala puji kepunyaan Allah, Tuhan bagi sekalian alam.

MOHAMAD NASIR BIN MAJID
(TOK FAQIR AN-NASIRIN)
Seberang Takir
 


Kebenaran Hakiki
LAMAN UTAMA