4: RASULULLAH S.A.W DAN PARA SAHABAT FANA DALAM WAHYU  BAQA DALAM UBUDIAH

Pada hari Isnin 17 Ramadan bersamaan 6 Ogos tahun 610 Masehi, ketika Nabi Muhammad s.a.w berusia 40 tahun, 6 bulan dan 8 hari, datanglah malaikat Jibrail a.s kepada baginda s.a.w yang sedang berkhalwat di Gua Hiraa. Jibrail a.s yang muncul secara tiba-tiba itu terus berkata: “Baca!” Nabi Muhammad s.a.w menjawab: “Saya tidak tahu membaca”. Jibrail a.s terus menangkap Nabi Muhammad s.a.w. Diserkupnya baginda s.a.w dengan kain rida’ dan dipeluknya sehingga baginda s.a.w mengalami kesukaran untuk bernafas. Kemudian dilepaskannya dan disuruhnya baginda s.a.w membaca seperti mulanya. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Sekali lagi Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w dan dilakukannya seperti mula-mula tadi. Pelukan Jibrail a.s kali ini lebih erat daripada yang pertama tadi, menyebabkan baginda s.a.w hampir-hampir tidak dapat bernafas. Kemudian baginda s.a.w dilepaskan oleh Jibrail a.s dan disuruhnya lagi baginda s.a.w membaca. Baginda s.a.w masih mengatakan tidak tahu membaca. Buat kali ke tiga Jibrail a.s menangkap Nabi Muhammad s.a.w, menutup baginda s.a.w dengan kain rida’ dan memeluk baginda s.a.w dengan erat. Perbuatan yang demikian sangat memayahkan baginda s.a.w bernafas. Setelah melepaskan baginda s.a.w buat kali ke tiganya, Jibrail a.s membacakan firman Allah:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -  Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, - Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. ( Ayat 1 – 5 : Surah al-‘Alaq )

Termetrailah wahyu pertama di dalam dada Nabi Muhammad s.a.w. Sekali Jibrail a.s membacakan wahyu kepada Nabi Muhammad s.a.w, wahyu tersebut akan melekat, terpahat pada hati baginda s.a.w, tidak akan hilang atau pudar buat selama-lamanya. Baginda s.a.w mengikuti bacaan Jibrail a.s dengan fasih. Setiap huruf dan ayat yang baginda s.a.w bacakan membuka segala tutupan dan menghuraikan segala simpulan yang tidak mampu dihuraikan oleh fitrah baginda s.a.w selama baginda s.a.w berkhalwat di Gua Hiraa. Apa yang tidak mampu disingkap oleh akal dan renungan batin sudah terjawab dengan kedatangan wahyu. Kebenaran yang disampaikan oleh wahyu adalah kebenaran yang muktamad.

Nabi Muhammad s.a.w menerima perkhabaran wahyu dengan sepenuh jiwa raga tanpa sebarang keraguan walaupun sebesar zarah. Baginda s.a.w yakin penuh dengan kebenaran berita dan janji yang wahyu sampaikan. Wahyu sentiasa turun membimbing baginda s.a.w serta memberi ketetapan hati, meneguhkan kepercayaan dan pendirian baginda s.a.w di dalam melaksanakan amanah yang Allah s.w.t serahkan kepada baginda s.a.w. Tempoh wahyu turun kepada baginda s.a.w adalah 22 tahun, 2 bulan dan 22 hari.

 Wahyu turun kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui tujuh cara. Cara yang pertama adalah mimpi yang benar. Apabila baginda s.a.w melihat sesuatu di dalam mimpi, pandangan yang kelihatan adalah terang seperti cuaca subuh. Apa yang baginda s.a.w saksikan di dalam mimpi benar-benar berlaku. Wahyu cara ke dua dihantarkan oleh malaikat kepada hati baginda s.a.w. Baginda s.a.w mengetahui sesuatu secara spontan, tanpa berfikir atau merenung. Wahyu cara ke tiga dibawa oleh malaikat Jibrail a.s yang menggunakan bentuk misal. Contohnya Jibrail a.s pernah memakai rupa salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w yang elok wajahnya iaitu Dihyah bin Khalifah al-Kalbi. Sahabat inilah yang kemudian hari menjadi wakil Rasulullah s.a.w menyampaikan surat baginda s.a.w kepada Heraklius, penguasa kerajaan Roman Timur. Wahyu cara ke empat pula datang kepada Rasulullah s.a.w seperti suara loceng. Wahyu cara inilah yang paling berat dan memenatkan baginda s.a.w. Baginda s.a.w pernah berpeluh pada musim dingin tatkala menerima kedatangan wahyu cara ke empat ini. Pernah satu ketika paha Rasulullah s.a.w sedang menindih  paha Zaid bin Sabit ketika wahyu yang seperti suara loceng ini turun kepada baginda s.a.w. Zaid merasakan seolah-olah pahanya akan pecah menanggung paha Rasulullah s.a.w yang sedang menerima wahyu tersebut. Wahyu cara ke lima datang kepada Rasulullah s.a.w dengan menderu seperti suara lebah. Pada cara ke enam pula Jibrail a.s datang kepada Rasulullah s.a.w dalam rupanya yang asli. Wahyu cara ke tujuh adalah penyampaian secara langsung daripada Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w, tanpa sebarang perantaraan, seperti yang pernah dialami oleh Nabi Musa a.s.

 Ketegasan dan keteguhan Rasulullah s.a.w menyampaikan dakwah melalui bimbingan wahyu ternyata pada kata-kata baginda s.a.w kepada bapa saudara baginda s.a.w, Abu Talib, yang menyampaikan kepada baginda s.a.w permintaan kaumnya agar baginda s.a.w menghentikan pekerjaan dakwah. Baginda s.a.w memberikan jawapan yang tegas: “Wahai bapaku. Walaupun mereka meletakkan matahari pada bahuku yang kanan dan bulan pada bahuku yang kiri dengan maksud daku meninggalkan tugasku, tidak akan daku tinggalkannya sehinggalah agama ini menang atau daku binasa sebelumnya!”

 Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah melepaskan pergantungan kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w memperolehi berbagai-bagai kemuliaan dan ketinggian tetapi segala puji-pujian diperuntukkan kepada Allah s.w.t semata-mata. Apabila baginda s.a.w dipuji oleh orang ramai baginda s.a.w mengembalikan pujian itu kepada Allah s.w.t. Baginda s.a.w sangat cermat dan tegas di dalam menanggung wahyu. Apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t baginda s.a.w melaksanakannya sendiri terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Baginda s.a.w telah menunjukkan contoh teladan melalui diri baginda s.a.w sendiri. Tidak ada istilah hukum yang wajib untuk orang ramai tetapi tidak wajib untuk Rasulullah s.a.w. Hukum Allah s.w.t berjalan sama rata sama rasa, kepada Rasulullah s.a.w dan juga kepada umat baginda s.a.w. Jika umat baginda s.a.w wajib mengerjakan sembahyang lima waktu sehari semalam baginda s.a.w juga wajib berbuat demikian, malah baginda s.a.w lakukan melebihi daripada apa yang dikerjakan oleh orang lain. Baginda s.a.w memperbanyakkan sembahyang malam hingga bengkak tumit baginda s.a.w, tetapi umat baginda s.a.w tidak diwajibkan berbuat demikian, walaupun digalakkan.

 Nabi Muhammad s.a.w sangat mengasihi umat manusia. Baginda s.a.w pernah disakiti oleh kaum baginda s.a.w tetapi baginda s.a.w mengelakkan daripada mendoakan keburukan untuk mereka. Baginda s.a.w lebih suka mendoakan: “Wahai Tuhanku! Tunjukilah kaumku kerana mereka tidak mengerti.” Kadang-kadang baginda s.a.w mendoakan: “Wahai Tuhanku! Ampunilah kaumku kerana mereka tidak tahu”. Begitulah halusnya nilai budi dan akhlak Rasulullah s.a.w yang diasuh oleh wahyu.

 Rasulullah s.a.w menerima wahyu sebagai kebenaran yang Mutlak. Apa juga bakat yang ada dengan baginda s.a.w seperti fikiran, ilham dan kasyaf, baginda s.a.w gunakan sebaik mungkin bagi menterjemahkan wahyu dan menyatakan kebenaran wahyu itu. Tidak pernah terjadi baginda s.a.w mengeluarkan buah fikiran, ilham atau kasyaf yang berbeza dengan wahyu. Baginda s.a.w menggunakan segala bakat baginda s.a.w untuk menyokong wahyu. Cara yang baginda amalkan menyebabkan Hadis menjadi sumber hukum selepas al-Quran. Hadis yang benar daripada Rasulullah s.a.w tidak sezarah pun bercanggah dengan al-Quran.

 Rasulullah s.a.w dengan perintah, petunjuk dan bimbingan wahyu menjalani kehidupan di dalam dunia ini sebagai manusia biasa bukan sebagai malaikat atau manusia luar biasa. Baginda s.a.w menjalani kehidupan yang ada urusan beristeri dan berkeluarga, bermasyarakat, merasai kenyang dan lapar, sihat dan sakit dan segala aspek kehidupan manusia biasa, hinggakan baginda s.a.w menjalani juga proses kematian walaupun ada Nabi yang tidak menjalani proses tersebut. Kehidupan yang baginda s.a.w jalani itu berdasarkan bimbingan wahyu yang maha benar. Baginda s.a.w adalah orang yang paling arif mengenai maksud wahyu. Terjemahan wahyu yang baginda s.a.w tunjukkan dengan prinsip dan amalan kehidupan baginda s.a.w sendiri merupakan suasana kehidupan yang paling utama, paling baik, paling mulia dan paling tinggi. Suasana demikian juga yang dijalani oleh para sahabat baginda s.a.w. Mereka adalah puak yang bergerak di atas muka bumi, di dalam dunia, menyebarkan apa yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

 Setelah diangkat menjadi Rasul Allah, Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah mengenai enam perkara yang menjadi dasar pembentukan umat yang ingin kembali kepada kemurnian fitrah mereka dan melaksanakan kewajipan kehambaan kepada Allah s.w.t. Enam dasar yang konkrit itu adalah:
1: menyampaikan, mengajak serta membimbing umat   manusia  supaya mematuhi sekalian perintah Allah s.w.t dan menjauhi sekalian larangan-Nya dengan sepenuh kekuatan dan kebijaksanaan.
2:  bersyukur kepada Allah s.w.t yang menciptakan dan mengurniakan nikmat kesinambungan hidup sehingga umat manusia tidak menemui kesukaran di dalam menjalani kehidupan dan mendapatkan keperluan mereka.
3:  membersihkan pakaian dan perbuatan zahir serta amalan hati bagi mencapai kesempurnaan takwa.
4:  meninggalkan segala yang keji dan munkar seperti syirik, berhala, arak, judi, zina, riba dan lain-lain yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.
5:  mengikhlaskan niat dan amalan supaya kepentingan diri tidak merobohkan benteng keadilan dan supaya fitnah kebendaan tidak memesongkan haluan ubudiah (kehambaan) terhadap Allah s.w.t.
6: semua perkara yang dinyatakan di atas hendaklah dilengkapkan dengan sabar kerana dugaan di dalam melakukan kebaikan jauh lebih kuat daripada dugaan meninggalkan kejahatan. Sabar menjadi prinsip yang kukuh mempertahankan diri dalam menghadapi halangan dan penentangan di sepanjang jalan menyebarkan dan melakukan kebaikan.

 Wahyu telah memberi jawapan yang konkrit terhadap permasalahan yang tidak mampu dihurai oleh fikiran, ilham dan kasyaf. Apabila wahyu datang selesailah perjuangan batin Nabi Muhammad s.a.w di dalam mencari hakikat yang sebenar. Kebenaran Hakiki yang baginda s.a.w terima melalui wahyu itu dipertanggungjawabkan kepada baginda s.a.w untuk disampaikan pula kepada sekalian manusia. Baginda s.a.w tidak boleh lagi memencilkan diri di dalam Gua Hiraa. Apabila cahaya kebenaran memancar di dalam lubuk hati dan bidang tugas dibukakan, baginda s.a.w mesti keluar kepada orang ramai, kepada dunia, bagi menyampaikan amanah yang baginda s.a.w tanggung dengan bersuluhkan cahaya kebenaran.

 Wahyu menceritakan tentang Allah s.w.t, Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat Kesempurnaan, Yang Maha Mulia dan memiliki nama-nama yang baik-baik. Diterangkan juga tentang kejadian manusia. Wahyu mengajar manusia berbuat kebaktian kepada Allah s.w.t. Diajarkan cara perhubungan dengan sesama manusia. Wahyu sangat menekankan soal takwa iaitu mematuhi titah perintah Allah s.w.t, tidak keluar daripada sempadan jalan yang lurus yang telah digariskan oleh Allah s.w.t sendiri. Wahyu mendidik manusia supaya hidup sebagai hamba Tuhan dengan sebenar-benar kehambaan. Wahyu telah dengan tegas dan jelas meletakkan manusia pada taraf hamba Tuhan, bukan taraf yang lain daripada itu.

 Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran kepada kaum Muslimin. Pendidikan al-Quran berkembang dengan sangat pesat setelah baginda s.a.w dan kaum Muslimin berhijrah ke Madinah. Jika Rasulullah s.a.w sangat bersungguh-sungguh mengajarkan al-Quran, kaum Muslimin pula sangat bersungguh-sungguh mempelajarinya. Sebahagian daripada kaum Muhajirin yang berhijrah ke Madinah terpaksa tinggal di luar kota Madinah, di satu kawasan yang bernama Sunuh, kira-kira 20 km dari masjid Rasulullah s.a.w. Di sana mereka mendirikan rumah-rumah dan menguruskan kebun-kebun. Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar adalah di antara mereka yang tinggal di Sunuh. Jarak 20km itu tidak menghalang mereka mempelajari al-Quran daripada Rasulullah s.a.w. Mereka telah menyusun jadual pembelajaran al-Quran dengan rapi. Tiap-tiap hari mereka menghantarkan dua atau tiga orang wakil dari Sunuh pergi ke Madinah. Sepanjang hari wakil dari Sunuh akan mendapatkan apa sahaja yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, terutamanya ayat-ayat al-Quran yang baharu turun. Mereka mempelajari al-Quran secara menghafal dan memahami dengan lengkap. Jika ada larangan atau perintah atau amalan yang disampaikan oleh al-Quran mereka akan mendapatkan penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada Rasulullah s.a.w. Apa juga ayat yang turun pada hari itu mesti dihafalkan pada hari itu juga kerana pada hari esoknya mungkin ada pula ayat-ayat yang baharu turun. Setelah hari petang mereka kembali semula ke Sunuh dan pada malam itu juga atau paling lewat keesokan harinya semua pelajaran yang diterima daripada Rasulullah s.a.w sudah disampaikan kepada semua kaum Muslimin di Sunuh. Mereka mempelajari al-Quran tanpa bertangguh-tangguh. Al-Quran dipelajari secara menyeluruh iaitu membaca, menghafal, memahami dan mengamalkan. Program pembelajaran al-Quran yang diatur oleh Saidina Abu Bakar dan sahabat-sahabat beliau di Sunuh sungguh berkesan sehingga mereka boleh menjalankan kegiatan harian untuk menampung perbelanjaan mereka dan pada masa yang sama mereka boleh mempelajari al-Quran dengan sempurna. Kegiatan pertanian, perniagaan, penternakan, pertukangan dan lain-lain boleh berjalan dengan lancar jika pembelajaran al-Quran dilakukan dengan bersistematik. Kesungguhan mempelajari al-Quran tidak menjejaskan urusan kehidupan harian.

 Rasulullah s.a.w sangat teliti di dalam menyampaikan ayat-ayat suci al-Quran kepada kaum Muslimin. Setiap kali turun ayat baginda s.a.w akan mengumpulkan sahabat-sahabat baginda s.a.w dan ayat yang baharu turun itu disampaikan dengan pembacaan yang  betul, sebutan setiap huruf mengikut kadar panjang dan pendek yang harus dibunyikan. Bacaan yang tepat sebutannya dihafal berulang-ulang sehingga ayat-ayat tersebut benar-benar melekat di dalam ingatan dan hati mereka. Mereka tidak berganjak daripada majlis Rasulullah s.a.w sebelum mereka dapat menyebut ayat-ayat al-Quran dengan betul dan menghafalnya dengan baik. Bukan sekadar membaca dan menghafal, malah mereka juga dilengkapkan dengan pengetahuan dan pengertian yang jelas tentang maksud ayat, kedudukan susunannya di dalam al-Quran dan hubung-kaitnya dengan ayat-ayat yang lain. Jika ayat tersebut melibatkan peraturan dan amalan maka kaedah peraturan dan amalan itu difahami benar-benar. Semua itu mereka pelajari secara langsung daripada Rasulullah s.a.w. Kemudian apa yang sudah mereka pelajari itu mereka sampaikan pula kepada kawan-kawan mereka yang tidak sempat menghadiri majlis Rasulullah s.a.w.

Selain dihafal, ayat-ayat al-Quran juga ditulis di atas kulit binatang, tulang-tulang yang lebar, pelepah-pelepah tamar yang sudah dikeringkan dan batu-batu yang lebar. Jadi, ayat al-Quran bukan sahaja dipelihara di dalam dada kaum Muslimin malah ia juga dipelihara secara bertulis. Lembaran al-Quran yang bertulis itu disimpan di rumah Rasulullah s.a.w.

 Rasulullah s.a.w telah mewariskan al-Quran kepada umat baginda s.a.w dengan cara yang paling berkesan dan selamat. Atas kebijaksanaan baginda s.a.w umat Islam yang datang kemudian dapat menerima al-Quran dalam keasliannya. Selain daripada jurutulis wahyu yang khusus terdapat kira-kira 40 orang yang mengambil bahagian di dalam bidang penulisan wahyu. Cara yang demikian lebih memudahkan kaum Muslimin menyebarkan al-Quran.

 Rasulullah s.a.w sangat menekankan soal menghafal al-Quran. Baginda s.a.w memberi petunjuk mengenai penghafalan ayat-ayat al-Quran dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang menghafal al-Quran adalah seperti orang yang memiliki unta yang diikat. Jika unta itu dijaga ia terpelihara. Jika dilepaskan ia akan hilang”. Baginda s.a.w mengajarkan supaya mengikat hafalan al-Quran dengan cara terus mengulangi bacaannya seberapa kerap yang terdaya. Selain daripada menghafal, pemahaman dan amalan juga dititik-beratkan. Ibnu Mas’ud menceritakan: “Apabila seseorang kami mempelajari sepuluh ayat dari al-Quran kami tidak akan berpindah kepada ayat lain sebelum kami mengetahui benar-benar maksudnya dan tahu cara beramal dengannya”. Ramai para sahabat menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran kepada mereka secara sepuluh ayat sekali belajar, tetapi lengkap dengan menghafal, memahami maksud, tahu mengamalkannya dan tahu kedudukannya berhubung dengan ayat-ayat lain yang turun terdahulu. Mereka mempelajari al-Quran, menyimpan serta mengamalkannya.

 Rasulullah s.a.w selama-lamanya membaca al-Quran secara tartil, membaca dengan terang dan perlahan-lahan, mengeluarkan bunyi setiap huruf dengan jelas. Cara bacaan yang demikian baginda s.a.w sebarkan kepada para sahabat. Cara tersebut selain memberi faedah kepada para pembaca juga memudahkan pendengar mengikuti serta menghafalnya.

 Rasulullah s.a.w berjaya membentuk satu umat yang tidak pernah wujud di atas muka bumi seperti mereka sebelumnya dan tidak akan ada lagi yang menyamai mereka sesudahnya. Itulah umat yang setiap ahlinya terdiri daripada orang yang arif tentang al-Quran. Jika dilihat al-Quran dari sudut perlembagaan negara maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli politik yang arif tentang peraturan negara. Jika dilihat al-Quran sebagai kod etika sosial maka setiap ahli masyarakatnya adalah pemimpin yang bertanggung-jawab kepada apa yang dipimpin, baik keluarga, perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya. Jika dilihat al-Quran sebagai kitab ilmu perang maka setiap ahli masyarakatnya adalah perajurit yang sentiasa bersedia menyahut panggilan jihad. Jika al-Quran dilihat sebagai peraturan kehidupan maka setiap ahlinya adalah ahli syariat yang taat. Jika dilihat al-Quran sebagai penyampai khabar tentang Allah s.w.t maka setiap ahli masyarakatnya adalah ahli makrifat yang benar-benar mengenal Allah s.w.t. Jika dilihat al-Quran sebagai ajaran penyucian hati maka setiap ahli masyarakatnya adalah yang sangat mendalam pengertian mereka mengenai hati. Mereka beragama secara menyeluruh. Darah, daging, tulang, sumsun dan urat saraf adalah Muslim. Pendengaran, penglihatan, penciuman, pergerakan dan akal fikiran mereka adalah Muslim. Hati mereka adalah Muslim. Roh mereka adalah Muslim. Mereka memakai satu makam sahaja iaitu makam HAMBA ALLAH! Mereka tidak tahu perbezaan istilah-istilah syariat, tarekat, hakikat, makrifat, ilmu tauhid, ilmu fikah, ilmu tasauf dan yang seumpamanya. Mereka adalah ahli al-Quran dan ilmu mereka adalah ilmu al-Quran.

 Rasulullah s.a.w menyiramkan roh dan jiwa raga sahabat baginda s.a.w dengan air al-Quran. Lahirlah individu yang cergas dalam segala bidang. Mereka yang menjadi petani bekerja bersungguh-sungguh dengan segala kemahiran yang mereka miliki bagi menghasilkan makanan dan keperluan kaum Muslimin. Peniaga pula mengumpulkan harta sebanyak mungkin secara halal untuk disumbangkan kepada pembangunan umat dan juga jihad fi-sabilillah. Apa juga nikmat yang diperolehi diperakui sebagai kurniaan Allah s.w.t yang dipertaruhkan sebagai amanah, bukan sebagai milik individu sepenuhnya. Individu yang menerima kurniaan tersebut mentadbirkannya secara yang diredai oleh Allah s.w.t. Apabila pemilikan harta longgar pada hati mudahlah melepaskannya demi kepentingan agama Allah s.w.t kerana Allah s.w.t adalah Pemilik sebenar. Saidina Abu Bakar as-Siddik melepaskan kesemua hartanya demi jihad fi-sabilillah. Para sahabat yang lain menyumbangkan menurut kadar masing-masing. Tidak ada yang menuntut harta sebagai pemilikan mereka sepenuhnya. Kaum Ansar telah membuktikannya dengan kesanggupan mereka melepaskan harta dan tanah pemilikan mereka demi membantu saudara-saudara mereka kaum Muhajirin. Apa yang dilepaskan itu diserahkan sepenuhnya kepada Rasulullah s.a.w. Terpulang kepada baginda s.a.w bagaimana mahu membahagikan harta Ansar tersebut.

 Al-Quran telah membimbing Nabi Muhammad s.a.w dan kaum Muslimin agar bergerak cergas dalam segala bidang bagi membentuk kehidupan yang sihat sejahtera sesuai dengan kehendak dan peraturan Allah s.w.t. Kehidupan dunia yang demikian menjadi asas kepada kehidupan akhirat. Kesungguhan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w membina kesejahteraan di bumi dapat dilihat melalui program dan strategi pertahanan dan ketenteraan yang rapi disusun oleh baginda s.a.w bersama-sama para sahabat baginda s.a.w. Ketika berlaku Perang Badar dalam tahun ke dua hijrah tentera Islam terdiri daripada 313 orang dengan alat kelengkapan perang yang sangat sederhana. Ketika berlaku Perang Uhud dalam tahun ke tiga hijrah tentera Islam berjumlah 700 orang dengan kelengkapan perang yang lebih baik daripada ketika Perang Badar dahulu. Dalam tahun ke lima hijrah berlaku pula Perang Khandak. Dalam peperangan tersebut tentera Islam sudah berjumlah 3,000 orang dengan kelengkapan perang yang mencukupi. Dalam tahun ke enam hijrah Rasulullah s.a.w memimpin 1,700 orang kaum Muslimin menuju Makkah dengan bilangan kuda sebanyak 200 ekor. Dalam tahun ke sepuluh hijrah baginda s.a.w memimpin 10,000 orang tentera Muslimin menakluki kota Makkah. Bilangan kuda pada masa itu sudah berjumlah 1,000 ekor. Pada tahun ke sembilan hijrah baginda s.a.w memimpin hampir 40,000 orang tentera Muslimin ke Tabbuk dalam daerah Syam. Mereka menggunakan 10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor unta. Mereka mampu meredah jarak 2,000 batu yang sebahagian besarnya adalah padang pasir. Bukan pekerjaan yang mudah membentuk 40,000 orang tentera yang tinggal di merata tempat dalam Semenanjung Arab. Mereka terdiri daripada berbagai-bagai suku dan kaum. Kerja penyelarasan pasukan tentera yang begitu besar bukanlah mudah. 40,000 orang tentera, 10,000 ekor kuda dan 20,000 ekor unta berkumpul di Madinah pada satu masa sebelum berangkat ke Tabbuk. Tempat tinggal, makan dan minum mereka semua diperlukan. Pekerjaan yang berat itu dapat diselenggarakan oleh kaum Muslimin di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w. Apa yang tidak dapat dibuat oleh umat lain mampu dilakukan oleh umat Nabi Muhammad s.a.w kerana mereka mendapat pimpinan yang langsung dari Allah s.w.t melalui wahyu-Nya, melalui Rasul-Nya. Al-Quran telah berjaya membentuk umat yang menjadi penolong dan pembela agama Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w mengatakan di Arafah bahawa orang yang boleh menolong agama Islam adalah mereka yang memberikan sepenuh hatinya kepada Islam dan bekerja dalam segala jurusan untuk Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja tidak dapat menyumbangkan kepada perkembangan Islam secara berkesan. Hanya mereka yang menyerah secara menyeluruh dirinya, tenaganya, hartanya dan masanya untuk Islam benar-benar mampu menaikkan Islam. Orang yang menolong Islam dalam satu jurusan sahaja, misalnya dalam jurusan ibadat sahaja atau dalam jurusan ekonomi sahaja atau politik sahaja, tidak banyak membantu kepada pertumbuhan dan perkembangan agama Islam. Hanya  puak Ansar (orang yang menolong dan membela Islam dalam segala bidang) dapat menyokong perkembangan Islam. Orang Ansar mengenepikan segala kepentingan diri demi agama Allah s.w.t, kerana Allah s.w.t!

 Rasulullah s.a.w juga memberikan perhatian kepada bidang ekonomi. Di dalam pelan pembangunan Madinah baginda s.a.w tidak lupa menyediakan kawasan untuk dijadikan pusat perniagaan kaum Muslimin. Sebelumnya kaum Muslimin Madinah berkumpul di pasar Yahudi Banu Kainuka. Sistem pasar tersebut berjalan menurut peraturan Yahudi. Rasulullah s.a.w sangat tidak menyukai apa sahaja yang bercanggah dengan peraturan Allah s.w.t. Baginda s.a.w mahu kaum Muslimin berniaga menurut prinsip perekonomian Islam. Oleh itu baginda s.a.w membuka pusat perniagaan yang baharu. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Inilah tapak tempat perniagaan kamu, semoga ia tidak sempit dan tidak dipungut hasil padanya”.  Muncullah sebuah pekan kecil yang berperanan sebagai pasar bebas cukai milik kaum Muslimin Madinah. Pusat perniagaan yang dibuka oleh Rasulullah s.a.w itu diberkati Allah s.w.t. Pengunjungnya sentiasa bertambah dan pada masa yang sama pasar Yahudi menjadi semakin lengang.

 Tugas Rasulullah s.a.w dalam bidang ekonomi bukan sekadar menyediakan kawasan perniagaan sahaja. Baginda s.a.w juga melindunginya agar keadilan dalam perniagaan ditegakkan di sana. Satu ketika baginda s.a.w melihat ada didirikan khemah di kawasan perniagaan tersebut. Baginda s.a.w memerintahkan agar khemah itu dibakar. Sebelum terjadi perlumbaan mengawal kepentingan diri sendiri dengan mencabut hak orang lain, awal-awal lagi Rasulullah s.a.w mencabut pokok yang berbisa itu, sebelum ia sempat tumbuh segar dan merosakkan sistem perekonomian kaum Muslimin. Baginda s.a.w tidak mahu ruang perniagaan menjadi sempit lantaran didirikan bangunan di atasnya. Tidak ada pemilikan dan penguasaan individu di dalam kawasan perniagaan yang di bina oleh Rasulullah s.a.w.

 Pada masa yang lain pula Rasulullah s.a.w melihat ada peniaga yang menumpuk gandum. Baginda s.a.w memasukkan tangan baginda s.a.w ke dalam tumpukan gandum itu dan mendapati bahagian bawahnya basah. Baginda s.a.w memerintahkan agar bahagian yang basah diletakkan di atas supaya pembeli tidak tertipu. Baginda s.a.w juga menegur sikap peniaga yang sengaja menaikkan harga barang. Baginda s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang yang membawa barang ke pasar ini seperti orang yang berjihad fi-sabilillah. Orang yang menaikkan harga barang seperti orang yang kufur dengan Allah s.w.t”.

  Di dalam pelan pembangunan Madinah masjid menjadi pusat atau jantung yang segala aktiviti bergerak mengelilinginya. ‘Roh’ kepada jantung itu adalah Nabi Muhammad s.a.w. Daripada masjid baginda s.a.w memancarkan kehidupan yang baik yang berbentuk kerohanian dan juga kebendaan. Jika masjid diibaratkan jantung, maka darah yang dihantarkan oleh jantung kepada semua bahagian adalah al-Quran. Darah al-Quran memberikan kekuatan kepada kaum Muslimin. Kaum Muslimin bekerja di atas dasar mentaati Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Pembangunan kebendaan berdasarkan prinsip keadilan dan kebenaran.

 Wahyu meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada Rasulullah s.a.w dan pengikut baginda s.a.w. Setiap kali wahyu turun terjadilah perubahan pada diri mereka dan suasana di sekeliling mereka. Wahyu yang dibacakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w mempunyai kekuatan untuk mendatangkan perubahan. Apabila Rasulullah s.a.w membaca wahyu yang menegur sesuatu perkara yang ada pada mereka, maka dengan segera mereka mengambil tindakan menyesuaikan diri dengan teguran tersebut. Amalan, kepercayaan, tradisi dan apa sahaja mereka boleh lepaskan dengan mudah apabila datang perintah wahyu. Pekerjaan berat dan belum pernah mereka lakukan akan menjadi ringan jika wahyu memerintahkan mereka melakukan pekerjaan tersebut. Apabila datang wahyu mengharamkan arak, orang yang sedang memegang botol arak terus mencampakkannya, sekalipun mereka merupakan orang yang ketagihkan arak. Begitulah kekuatan wahyu yang dibacakan secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. Kaum Muslimin sentiasa mengharapkan kedatangan wahyu untuk memberi petunjuk, bimbingan dan teguran kepada mereka. Kedatangan wahyu adalah umpama kedatangan kekasih yang mereka rindui. Mereka fana di dalam wahyu hinggakan tidak ada perkataan yang menguasai mereka melebihi perkataan Allah s.w.t. Mereka baqa di dalam perintah wahyu iaitu kehambaan kepada Allah s.w.t hinggakan tidak ada yang menguasai mereka melainkan peraturan Allah s.w.t. Itulah umat Nabi Muhammad s.a.w yang fana dalam wahyu dan baqa dalam ubudiah (kehambaan).


Tajuk 5
Kebenaran Hakiki