30: Tarekat Kehidupan Harian

Setiap orang yang hidup dalam dunia ini membina kehidupan masing-masing berdasarkan dorongan naluri semulajadi seperti keinginan berkeluarga, mencari rezeki, memiliki tempat tinggal dan sebagainya yang mensejahterakan kehidupan di dalam alam ini. Hasilnya seseorang itu berjaya memiliki sesuatu seperti pekerjaan yang baik, tempat tinggal yang selesa dan kemudahan asas yang lain yang diperlukan. Masing-masing juga sudah berkeluarga, hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak. Bukan mudah mahu membina kehidupan yang selesa dan bahagia itu. Seseorang itu perlu melalui kesusahan dan pengorbanan bagi memperolehinya. Adakah jika seseorang itu mahu memasuki bidang kerohanian dia mesti meninggalkan atau membuang apa sahaja yang telah dimilikinya itu? Patutkah dia meninggalkan pekerjaan, rumah tangga, isteri, anak-anak dan masyarakat lalu lari ke hutan dan gua?

 Orang yang cenderung kepada aliran tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan wali-wali yang dibaca daripada buku-buku sebagai contoh tauladan. Aspek kewalian yang paling menarik perhatian adalah kekeramatan. Kekeramatan dianggap sebagai bukti ketinggian makam seseorang wali itu. Kebolehan wali mengeluarkan kekeramatan dikaitkan dengan sifat zuhud dan bertawakal penuh yang dimiliki oleh wali tersebut. Orang yang berminat kepada tarekat tasauf itu mengandaikan jika mahu memperolehi pangkat kewalian dan boleh mengeluarkan kekeramatan, perlulah dia memilih hidup bertajrid sepenuhnya dengan meninggalkan ikhtiar dan dia perlu bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Dia lari ke hutan, ke puncak gunung dan ke gua-gua. Dia mengasingkan dirinya daripada segala-galanya yang dia anggap boleh menghalang perkembangan kerohaniannya. Ketika di dalam pengasingan itu dia meniru cara hidup wali-wali. Dia memaksa dirinya supaya menjadi kuat beribadat dan berzikir. Tidak memperdulikan keselamatan dirinya dan tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya.

 Biasanya orang yang bertajrid secara melulu ini tidak dapat bertahan lama. Kesabarannya tidak cukup kuat untuk menanggung kesusahan yang mendatanginya semasa dalam pengasingan. Kerinduan kepada anak-anak selalu mengganggu jiwanya. Kecemburuan terhadap isteri yang jauh di mata merisaukan fikirannya. Harta yang banyak ditinggalkan mungkin sudah direbut oleh orang lain. Dia pula tidak dapat makan dengan mencukupi, tidurnya juga tidak selesa. Tubuhnya menjadi lemah dan semangatnya juga lemah. Akhirnya dia tidak tahan lagi menanggung penderitaan dan kegelisahan. Dia lari daripada alam pengasingan dan kembali kepada kehidupannya yang lama. Setelah kembali dia melihat kerugian yang sudah dialaminya selama dia lari ke hutan. Kerugian perlu dituntut ganti. Kali ini dia menggunakan apa juga cara untuk menebus semula masa dan peluang yang telah terlepas daripadanya. Kelakuannya menjadi lebih buruk daripada sebelum dia lari ke dalam alam pengasingan dahulu.

 Bertajrid secara melulu memberi kesan yang tidak baik kepada orang yang mencintai jalan kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang baharu mahu memulakan latihan tarekat kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatkan dia berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang menggoncangkan imannya dan boleh menyebabkan dia berputus asa. Dia tidak seharusnya meniru secara melulu kehidupan wali-wali yang sudah mencapai makam keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada dirinya sendiri; mengenalpasti kedudukannya, kemampuannya dan daya tahannya.

Ketika masih di dalam makam asbab dia perlu bertindak sesuai dengan hukum sebab akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya. Dia juga perlu mengadakan sebab bagi mensejahterakan kehidupannya. Sebagai persediaan memasuki bidang kerohanian dia terlebih dahulu perlu bergerak di atas landasan sebab musabab yang boleh memperkuatkan daya tahan dan kesabarannya. Dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat tindakan makhluk mempunyai kesan dan pengaruh. Oleh yang demikian adalah wajar jika dia juga mengadakan tindakan menurut hukum sebab musabab dengan menggunakan bakat kemanusiaannya demi mengatur perancangan dengan rapi agar apa yang dia hajati boleh tercapai. Jika niatnya benar dan baik, perjalanan sebab musabab akan membantunya menuju ke arah yang dihajatinya. Tanda seseorang itu diletakkan di dalam sempadan asbab sebagai kenderaannya menuju matlamat, adalah urusan dan tindakannya menurut peraturan sebab musabab tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipannya terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa mudah untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak menggunakan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak dengkikan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum sebab musabab yang tidak menyalahi syarak, jiwanya akan berkembang dengan baik dan teratur, tanpa menghadapi kegoncangan yang dia tidak berdaya menanggungnya. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam suasana tajrid secara teratur dan selamat. Akhirnya dia mampu bertajrid sepenuhnya.

Dalam kehidupan harian ada juga orang yang dipaksa oleh takdir supaya terjun ke dalam lautan tajrid. Orang ini asalnya tergolong di dalam kumpulan ahli asbab yang hidup menurut hukum sebab musabab seperti orang ramai. Kehidupan dalam daerahasbab itu tidak menambahkan kemantapan rohaninya. Dia memerlukan perubahan bidang kehidupan baharulah rohaninya boleh berkembang maju. Bagi tujuan menambahkan kekuatan kerohaniannya takdir memisahkannya daripada apa sahaja yang menghalangnya daripada berjalan kepada Tuhan. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai seorang yang masih terikat dengan hukum sebab akibat, dia akan berusaha sedaya upayanya untuk menahan takdir yang tidak diingininya itu. Bila dia tidak berdaya menolong dirinya sendiri dia akan meminta pertolongan dengan orang lain yang mempunyai kuasa. Kuasa yang ada dengan manusia tidak mampu juga menolongnya menyekat kemaraan takdir yang mendatanginya itu. Dia boleh mengadakan sebab tetapi akibat yang diharapkan tidak berlaku. Dia menghadapi keadaan di mana hukum sebab akibat tidak berdaya menembusi benteng takdir. Setelah puas berusaha dan meminta pertolongan orang lain, dia tidak ada pilihan lagi kecuali lari kepada Tuhan. Dia merayu sambil menangis, memohon Tuhan menolongnya, melepaskannya daripada takdir yang menimpanya itu. Walau bagaimana sekalipun dia merayu namun tangan takdir yang mencengkamnya tidak juga terlepas. Akhirnya dia tidak berkuasa melawan lagi. Dia mengaku kalah dan tunduk kepada perjalanan takdir yang menguasainya. Redalah dia dengan apa juga takdir yang menimpanya. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan, sebaliknya dia menyerah bulat-bulat kepada-Nya. Tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid sepenuhnya. Bila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t akan menguruskan kehidupannya.

Beberapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya. Allah yang menjamin rezekinya, juga terhadap kamu. Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )

Makhluk Tuhan seperti burung, ikan, ulat, semut, kuman dan berbagai-bagai lagi tidak memiliki kebun dan kilang makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan. Manusia tajrid juga dijamin rezekinya oleh Tuhan. Bukan sekadar rezeki yang dijamin oleh Tuhan, malah segala aspek kehidupannya diuruskan oleh Tuhan. Tuhan mencabut kehendak dirinya yang lama dan digantikan-Nya dengan kehendak yang lain yang sesuai dengan kehendak-Nya. Tuhan memeliharanya daripada melakukan apa yang Dia murkai. Apa sahaja yang Dia mahu hantarkan kepada hamba-Nya yang bertajrid, ditapis-Nya agar ia tidak merosakkan iman dan iktikadnya. Dia memelihara hamba-Nya yang demikian daripada gangguan manusia lain yang tidak mengerti. Dia yang membela hamba-Nya yang demikian yang teraniaya. Penjagaan Tuhan terhadap hamba-Nya yang bertajrid melebihi penjagaan seorang ibu terhadap anaknya yang masih bayi. Allah s.w.t menghalang tangan manusia yang kotor dan aniaya daripada sampai kepada hamba-Nya yang menyerahkan urusan kepada-Nya.

 Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya itu dalam daerah tajrid adalah Dia memudahkan baginya rezeki dan penyelesaian masalahnya dengan cara yang tidak disangkanya. Jiwanya dijaga agar sentiasa tenteram walaupun berlaku kekurangan rezeki atau dia ditimpa oleh kesusahan. Allah s.w.t membela hamba-Nya yang bertajrid secara langsung atau dihantarkan-Nya makhluk-Nya untuk membantu hamba-Nya itu. Orang yang berperang dengan hamba Allah s.w.t yang bertajrid sebenarnya berperang dengan Allah s.w.t kerana hamba tersebut telah menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya dan Tuhan menghantarkan tentera-Nya yang tidak kelihatan bagi melindungi hamba-Nya yang bertajrid itu.

 Seseorang hamba perlulah menerima dengan rela kedudukan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengerti dan Maha Mentadbir. Apa yang penting dilakukan bukanlah mengubah dengan serta merta bentuk kehidupan yang sedang dimiliki. Tumpuan awal hendaklah ditujukan kepada mengubah suasana hati walaupun suasana kehidupan belum berubah. Ketika masih dalam daerahasbab tidaklah wajar jika seseorang mencampakkan segala-galanya. Mulailah dengan kehidupan yang sedia ada tetapi dengan suasana hati yang berbeza. Hati hendaklah dipaksakan supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t, ada hubungan dengan-Nya. Segala sesuatu dan segala perkara hendaklah dilihat sebagai ada pertalian dengan urusan dan pentadbiran Tuhan. Tidak ada sesuatu yang bebas bergerak sendiri tanpa tadbir Ilahi.

 Beriman kepada Qadak dan Qadar memainkan peranan yang penting dalam tarekat kehidupan harian. Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan. Apa sahaja yang dinisbahkan sebagai urusan Tuhan walaupun boleh dijelaskan melalui bakat dan nilai yang ada dengan manusia tetapi maksud yang sebenar melampaui penjelasan tersebut. Beriman kepada Qadak dan Qadar mengandungi penyerahan tanpa takwil terhadap apa yang tidak mampu dihuraikan secara terperinci melalui kekuatan akal, logik dan dalil. Walau bagaimana pun bolehlah dikatakan Qadak dan Qadar adalah suasana Ilmu Tuhan mengenai segala perkara yang Dia berkehendak menciptakan. Suasana dalam Ilmu Tuhan adalah awalnya itulah akhirnya dan zahirnya itulah batinnya, tidak ada perpisahan. Penciptaan manusia pertama dengan penciptaan manusia terakhir tidak ada jarak masa, ruang dan zaman dalam Ilmu Tuhan, tetapi perkara tersebut ada pada penciptaan yang nyata atau makhluk. Oleh sebab itu Tuhan mengetahui hal-ehwal manusia pertama dan terakhir sekaligus. Tuhan mengetahui yang azali dan yang abadi sekaligus. Tidak ada sesuatu yang melindungi sesuatu yang lain pada pengetahuan Tuhan. Tuhan mengetahui roh seseorang dan pada masa yang sama juga Dia mengetahui jasadnya. Tidak akan berlaku keadaan Tuhan tersalah meletakkan roh kepada jasad yang bukan untuknya. Roh adalah urusan Tuhan. Segala maklumat yang berhubung dengan penciptaan sesuatu makhluk itu telah disimpankan pada roh urusan-Nya itu. Roh urusan-Nya akan bergerak menurut ketentuan yang Tuhan letakkan padanya dan ia mengheret yang di bawah jagaannya menurut ketentuan yang sama. Dengan cara yang demikian apa yang Tuhan telah tentukan pada Ilmu-Nya berlaku dalam alam makhluk.

 Qadak dan Qadar memperkenalkan Kudrat, Iradat dan Ilmu Tuhan yang menguruskan segala perkara mengenai makhluk seperti penciptaan, keutuhan sebagai ciptaan yang mampu mengeluarkan kesan dan ciptaan itu menjadi asas kepada kewujudan di dunia dan di akhirat. Medan takdir menjadi cermin yang padanya manusia dapat melihat sesuatu mengenai Tuhan dan melaluinya manusia mengenal Tuhan. Beriman kepada Qadak dan Qadar mempereratkan hubungan hamba dengan Hadrat Tuhan yang “Dia beserta kamu walau di mana kamu berada”; “ Ke mana kamu hadapkan muka kamu di sana ada Wajah Tuhan (perihal tentang Tuhan”; “Tidak ada daya dan upaya melainkan beserta Allah”. Tanpa iman kepada Qadak dan Qadar tidak boleh wujud hubungan yang erat di antara hati hamba dengan Tuhan.

 Beriman kepada Qadak dan Qadar juga membuatkan manusia mengakui keberkesanan bakat-bakat yang Tuhan kurniakan kepadanya menyertai penciptaannya. Pengakuan tersebut membuat manusia menghargai bakat-bakat kurniaan Tuhan itu dan menggunakannya menurut peraturan Tuhan demi mencari keredaan-Nya. Beriman kepada Qadak dan Qadar cara begini membuat manusia melihat bakat-bakat dirinya sebagai alat yang Tuhan amanahkan kepadanya untuk dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Alat-alat tersebut akan diserahkan kembali kepada Tuhan, Pemilik sebenar yang akan memerikasanya.

 Dalam perjalanan takdir seseorang manusia, muncul kehendak diri kepada sesuatu. Bakat-bakat diri digerakkan bagi mendapatkan apa yang dikehendaki itu. Biasa terjadi kekuatan bakat diri tidak mampu mendapatkan apa yang diingini. Kejadian seperti ini menambahkan kesedaran manusia kepada Pemilik sebenar yang berkuasa mengatasi hak yang ada pada pengguna. Dengan demikian pengguna akan rasa bersyukur dalam menggunakan alat yang dipinjamkan kepadanya dan dia juga sentiasa ingat kepada Pemilik sebenar, berhajat kepada-Nya dan tunduk kepada keputusan-Nya yang Mutlak. Manusia itu juga sedar bahawa Pemilik sebenar boleh mengambil balik apa yang dipinjamkan-Nya kepada hamba-Nya, pada bila-bila masa yang Dia kehendaki dan tiada siapa dapat menghalang-Nya.

 Terjemahan kepada suasana beriman kepada Qadak dan Qadar bergantung kepada kedudukan seseorang. Orang yang didudukkan di dalam medan asbab perlu melihat kepada perjuangan, usaha, ikhtiar, doa dan sebagainya dalam melaksanakan tuntutan imannya itu. Orang yang berada dalam medan tajrid tidak melihat kepada perkara-perkara yang demikian. Mata hatinya tertutup daripada melihat kepada kekuatan dirinya dan bakatnya. Walaupun seseorang itu bermakam pada asbab atau tajrid, pasti ada sesuatu yang berlaku pada dirinya, ada perbuatan, perkataan dan lain-lain. Perkara yang berlaku pada ahli asbab adalah serupa dengan yang berlaku pada ahli tajrid. Misalkan, pada ahli asbab ada perbuatan memanjat pokok kerana mahu memetik buah kelapa. Pada ahli tajrid juga ada perbuatan yang serupa. Ahli asbab melihat perbuatan tersebut sebagai perbuatan dirinya. Dia menggunakan bakat-bakat yang lahir bersama kelahirannya. Ahli tajrid melihat perbuatan tersebut sebagai takdirnya. Takdir yang menggunakan bakat-bakat yang tersimpan pada dirinya. Oleh yang demikian, orang yang berada dalam medan asbab secara fikiran dan perasaannya, tidak seharusnya menggunakan hujah ahli tajrid untuk merombak kepercayaan kepada Qadak dan Qadar. Ahli tajrid pula tidak seharusnya menyalahkan huraian mengenai Qadak dan Qadar yang dibuat oleh ahli asbab dengan menggunakan fikiran dan perasaan asbab. Mengetahui kedudukan masing-masing boleh mengelakkan perbalahan yang tidak berkesudahan tentang Qadak dan Qadar.

 Fitnah kehidupan harian lebih banyak mengenai ahli asbab daripada ahli tajrid. Orang tajrid dipertahankan oleh perasaan reda dengan apa juga takdir yang menimpanya. Ahli asbab pula perlu bertahan dengan kepercayaan kepada hari akhirat. Beriman kepada Akhirat menjadi benteng yang mempertahankan ahli asbab daripada jatuh ke dalam jurang kemusnahan, sama ada kemusnahan pada jiwa atau pada akidah apabila berhadapan dengan kegoncangan yang berlaku pada kehidupannya. Akhirat adalah pemisah di antara orang yang beriman dengan orang yang kafir. Di dalam dunia ini orang yang beriman boleh mengadakan ikhtiar sebagaimana yang dilakukan oleh orang kafir, tetapi sering terjadi usaha orang kafir lebih mendatangkan keuntungan. Orang yang beriman mesti meyakini bahawa pengadilan di dunia tidak muktamad. Banyak daripada balasan baik untuk orang yang beriman disimpan di akhirat, bukan kerana Tuhan berkira dengan orang yang beriman tetapi kerana balasan yang Tuhan sediakan itu tidak layak dimuatkan di dalam dunia. Dunia ini terlalu sempit untuk dimuatkan dengan balasan baik yang Tuhan sediakan untuk orang mukmin. Orang mukmin melakukan kebaikan dengan kekuatan rohani yang berunsur nur atau cahaya. Cahaya boleh meliputi ruang yang luas dan melintasi zaman. Cahaya daripada sebahagian bintang mengambil masa beratus tahun untuk sampai ke bumi dan ada pula bintang yang cahayanya tidak akan sampai ke bumi. Cahaya rohani manusia lebih latif daripada cahaya bintang. Nabi Ibrahim a.s yang mempunyai kekuatan rohani yang tinggi, berdoa kepada Tuhan agar Kaabatullah dikunjungi orang bagi mengerjakan haji. Kekuatan doa Nabi Ibrahim a.s yang timbul daripada rohani yang suci bersih itu menarik manusia berduyun-duyun ke Makkah, sehingga ke hari kiamat. Ruang yang ada dalam dunia ini tidak cukup memuatkan balasan kepada kebaikan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s yang hanyalah sepotong doa, belum dicampurkan dengan kebaikan-kebaikan yang lain. Ruang yang cukup luas bagi memuatkan balasan orang mukmin berada di akhirat. Oleh kerana orang mukmin perlu menunggu untuk mendapatkan balasannya maka Tuhan menggandakan balasan tersebut.

 Keadaan orang kafir berbeza daripada orang mukmin. Orang kafir berbuat kebaikan bukan atas dasar beriman kepada Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada balasan kebaikan bagi mereka di akhirat. Balasan kebaikan orang kafir diselesaikan di dunia ini juga. Sebab itulah usaha mereka yang sedikit mendapat pulangan yang banyak. Tuhan sentiasa memberi lebih banyak daripada apa yang mereka usahakan supaya mereka tidak ada hak lagi untuk membuat tuntutan di akhirat.

 Allah s.w.t ciptakan manusia sebagai hamba-Nya dan untuk-Nya. Sebab itu hati hamba cenderung untuk kembali kepada-Nya. Dia telah sediakan jalan kembali kepada-Nya. Itulah jalan yang lurus. Orang yang mengikuti jalan yang lurus bertindak sesuai dengan tujuan dia diciptakan dan citarasanya yang asli. Apabila tujuan, tindakan dan citarasa bersepakat akan lahirlah kedamaian dalam hati. Kesejahteraan hati diperolehi di atas jalan yang lurus. Jika seseorang hamba lari dari jalan yang lurus hatinya akan memberontak. Akibatnya dia tidak akan merasakan kedamaian. Dia akan merasakan kekosongan di dalam jiwa. Rasa kekosongan itu menggerakkannya mencari tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Ketidak-pastian yang menguasainya membuatnya mencari menurut sangkaan. Sangkaan tidak menemukannya dengan yang sebenarnya dicari. Bila pencarian berlaku di luar daripada sempadan yang lurus yang ditemui hanyalah bayangan. Bayangan tidak membawa kebahagiaan yang sejati. Harta kekayaan, pangkat kebesaran dan lain-lain yang digunakan bagi mencari di luar daripada sempadan jalan yang lurus hanya memberi pulangan yang sia-sia. Hanya jalan yang lurus boleh membawa hamba kepada kebenaran yang dicari. Pada jalan yang lurus, harta dan pangkat akan mendatangkan keberkatan kepada dirinya dan memberi manfaat kepada makhluk Tuhan. Segala pemilikan menjadi alat bagi mendapatkan keredaan Allah s.w.t, berbakti kepada-Nya dan membantu makhluk-Nya. Bila tindakan dibuat sesuai dengan peraturan jalan yang lurus hati akan menjadi damai dan sejahtera. Tiada lagi pemberontakan dan tiada lagi kekosongan.

 Suka, duka, senang, susah, bahagia, celaka dan semuanya ditanggung oleh hati kerana hati yang memerintah sekalian anggota dan hati yang membuat keputusan dan pilihan. Hati perlu diperkuatkan agar ia dapat membuat pilihan yang baik dan benar dan mengawal anggotanya daripada lari ke jalan yang tidak lurus. Kekuatan hati boleh dipertingkatkan dengan amalan zikir. Hati perlu dibenamkan ke dalam suasana zikir sebanyak mungkin. Kekuatan zikir hati menyata sebagai zikir anggota. Bila anggota sudah dikuasai oleh zikir ia tidak lagi keluar daripada jalan yang lurus.

 Tarekat kehidupan harian perlu dilakukan dalam suasana hati yang mengingati Allah s.w.t iaitu zikir. Seseorang itu perlu berzikir ketika berjalan, memandu, memasak, berbaring dan pada semua keadaan. Kepenatan bekerja perlu direhatkan dengan zikir. Biar roh zikir menguasai semua aktiviti kehidupan. Berjalan ke bilik mesyuarat dengan zikir, bagi memperolehi keberkatan pada semua keputusan yang akan dibuat nanti. Menunggu kapal terbang sampai dengan berzikir, menaiki kapal terbang dengan zikir dan turun dari kapal terbang juga dengan zikir. Jika seseorang itu dicabut nyawanya maka dia ‘keluar’ bersama ingatan kepada Allah s.w.t.

 Selain daripada melakukan zikir beserta kegiatan harian, zikir perlu juga dibuat secara khusus, terutamanya pada waktu malam, setelah segala kegiatan harian berakhir. Zikir secara khusus memudahkan zikir secara perbuatan dan perkataan dalam kehidupan harian.

 Zikir mengubah suasana hati. Tarekat kehidupan harian mengubah kerohanian tanpa mengubah penghidupan harian. Orang masih boleh bekerja, menjaga isteri dan anak-anak serta berkhidmat kepada masyarakat. Bila tidak ada perubahan yang mendadak tidak ada pula kegoncangan yang mencabar iman. Dunia dan kehidupannya menjadi tarekat. Takwa (memelihara batasan yang ditentukan Tuhan) menjadi suluk. Perkataannya menjadi zikir, perbuatannya menjadi zikir dan perasaannya juga zikir. Roh amal bagi tarekat kehidupan harian adalah ikhlas. Apabila seseorang sudah berjaya mencapai makam ikhlas dalam menjalani kehidupannya dengan mematuhi perintah Tuhan, sesungguhnya dia sudah memperolehi nikmat yang sangat besar. Dia sudah berjaya mengikuti kehidupan Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w.
 


Tajuk 31
KANDUNGAN